Oleh Lesaya L. Sorudim
KOTA KINABALU: Hampir enam dekad lalu, Penampang, sebuah daerah di pinggiran bandaraya Kota Kinabalu, merupakan ‘lamin’ dua negarawan Sabah yang paling dihormati — Tun Fuad Stephens (ketika itu Donald Stephens) dan Datuk Peter Joinod Mojuntin.
Kedua-dua tokoh itu mempamerkan keberanian luar biasa pada zaman mereka dan memiliki ciri-ciri kepimpinan yang sukar dicari ganti.
Tun Fuad, Ketua Menteri pertama Sabah, memainkan peranan penting dalam membentuk takdir negeri semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Peter Mojuntin, yang dikenali dengan jolokan sebagai “Putera Emas Kadazan”, merupakan pejuang hak rakyat, dan seorang pemimpin yang tidak takut mempertahankan hak dan maruah rakyatnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Hari ini, hampir enam puluh tahun kemudian, Penampang sekali lagi melahirkan seorang tokoh politik yang berani ‘bukan guntalau’ di tengah-tengah kesedaran rakyat yang semakin meningkat — mahukan parti lokal memerintah negeri ini.
Tokoh ‘osiou’ yang dimaksudkan ialah Datuk Ewon Benedick, 41, Ahli Parlimen Penampang.
Keputusan Ewon yang juga presiden UPKO meletak jawatan daripada jawatan Kabinet Persekutuan telah mengejutkan banyak pihak, termasuk kalangan ahli politik negara.
Tindakan drastik itu dibuat susulan kekecewaannya terhadap komentariJabatan Peguam Negara Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah ke atas 40% hasil negeri — telah menyentuh hati rakyat Sabah yang lama mendambakan pemimpin yang berani bertindak, bukan sekadar bercakap.
Langkah sedemikian, yang jarang berlaku dalam arena politik Malaysia di mana kuasa sering dipegang erat, dipuji sebagai tindakan berprinsip dan berani.
Jelas sekali, pendirian tegas itu merupakan cerminan ketabahan moral yang pernah ditunjukkan oleh Tun Fuad dan Peter Mojuntin.
Namun, terdapat juga pemerhati politik melihat peletakan jawatan yang berani itu sebagai tonik yang sangat diperlukan oleh UPKO.
Parti yang telah lama dilihat bergelut untuk mendapat tempat dalam rangka kerja gabungan yang lebih besar, kini mungkin menemui vitaliti baharu dalam memperjuangkan hak Sabah dengan keyakinan yang diperbaharui.
Sama ada didorong semata-mata oleh prinsip atau oleh pandangan jauh strategik, tindakan Ewon, termasuk keputusan UPKO keluar daripada Pakatan Harapan, kini menjadi bualan hangat di kedai-kedai kopi, terutama daripada segi isu integriti, keberanian, dan kepimpinan dalam politik Sabah.
Apabila direnung, satu soalan kekal — adakah Ewon Benedick benar-benar mampu mengikuti jejak langkah Tun Fuad Stephens dan Peter Mojuntin, memimpin dengan penuh ketelusan daripada segi moral, keberanian, dan pengorbanan diri.
Hanya masa — dan langkah Ewon seterusnya — yang menentukan.
