TUARAN: Walaupun dilabel sebagai ‘underdog’, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) optimis parti yang buat pertama kali bertanding itu mampu melakukan kejutan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-17.
Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Joluin Jairuh berkata bilangan pengundi yang menyatakan sokongan terhadap calon KDM Kiulu, Gundohing Henry Saimpon, semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Dalam usaha meraih sokongan untuk KDM, beliau berkata jelas sekali kebelakangan ini Henry semakin diterima pengundi Kiulu.
Menurut Joluin, Henry juga merupakan seorang pemimpin yang berwibawa, berjiwa rakyat dan berpengalaman serta mesra rakyat, termasuk golongan orang muda.
“Nampaknya penduduk Kiulu lebih suka parti tempatan kali ini, jadi saya percaya, berdasarkan trend ini, parti KDM yang dianggap underdog mempunyai peluang untuk mencipta kejutan di Kiulu,” katanya.
Joluin berkata demikian selepas Program Santai bersama penduduk Kg Pahu, Kiulu, pada Ahad.
Program itu dihadiri Henry Saimpon, yang merupakan naib presiden KDM dan juga ketua penyelaras KDM Kiulu.
Joluin berkata angin perubahan sedang bertiup di seluruh negeri memihak kepada parti tempatan.
“Kami berharap rakyat Kiulu akan bersatu di belakang calon KDM dalam pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.
Dalam konteks ini, beliau menggesa pengundi Kiulu supaya keluar beramai-ramai dengan kad pengenalan mereka di pusat-pusat mengundi pada 29 November
