Kenyataan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
KOTA KINABALU: Saya dimaklumkan hari ini tercetus “gelombang baharu” apabila bekas Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas, Datuk Harun Ismail, Ketua Penerangan PGRS Pantai Manis, Amri Abu Bakar, dan Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong, menyertai Parti Warisan.
Hakikatnya, kebangkitan itu hanyalah gelombang kumpulan individu yang kecewa, sekumpulan kecil yang ingin menjarah jawatan dan harta bersama GRS.
Saya dimaklumkan ada di antara mereka secara peribadi telah meminta untuk menjadi calon, dan mengugut akan keluar parti jika tidak diberikan peluang.
Rakyat Sabah sudah tahu siapa mereka, para individu ini menyertai Warisan bukan kerana perjuangan, tetapi kehausan jawatan. Semasa bersama GRS, mereka senyap dan menumpang hasil kerja orang lain, apabila tidak lagi diberi kedudukan, mereka mula menukar haluan dan melaungkan kononnya perjuangan asal untuk rakyat Sabah.
Inilah politik lama yang rakyat sudah muak, politik tamak dan dendam peribadi.
GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak akan tunduk kepada politik ugutan dan perebutan habuan.
Kita tidak perlukan mereka yang hanya setia ketika ada jawatan dan berpaling tadah apabila kemahuan peribadi mereka tidak dituruti.
Kalau inilah yang mahu disebut sebagai “gelombang baharu” Warisan, maka ia sebenarnya gelombang kecewa, gelombang tertolak, dan gelombang manusia yang sudah hilang arah.
