TANJUNG ARU: Semangat kesukanan dan perpaduan terus disemarakkan apabila Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng, menyampaikan sumbangan dana kepada Pasukan Kelab Bola Ragbi Sharks Kota Kinabalu yang bakal mewakili daerah dalam Temasya Sukan Sabah Games (SAGA) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 Oktober 2025 di Tawau.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara ringkas di Padang Ragbi Tanjung Aru — gelanggang latihan rasmi pasukan — turut menyaksikan keakraban Dr. Ritchie bersama para pemain muda, kebanyakan daripada mereka merupakan anak jati Tanjung Aru yang bersemangat tinggi mengharumkan nama daerah.
Dalam ucapan beliau, Dr. Ritchie menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang, disiplin, dan kesungguhan pasukan Sharks yang dilihat mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda lain.
“Pasukan Ragbi Sharks bukan sekadar membawa nama daerah, tetapi mencerminkan semangat perpaduan, disiplin dan kekuatan generasi muda yang menjadi tulang belakang pembangunan negeri Sabah. Sukan ini bukan hanya tentang kemenangan di padang, tetapi tentang membina karakter dan semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap aktiviti sukan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan insan dan sosial yang inklusif, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan rakyat sejak tahun 2020.
“Menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang, marilah kita terus mengekalkan politik harmoni berasaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. PGRS Tanjung Aru akan terus menyokong inisiatif yang membina, terutama dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang sukan dan kepimpinan,” tambahnya lagi.
Pasukan Ragbi Sharks Kota Kinabalu dijangka berentap dengan pasukan-pasukan hebat dari seluruh Sabah dalam SAGA 2025. Sumbangan yang disalurkan ini diharap dapat membantu dari segi persiapan logistik, kelengkapan pasukan dan latihan intensif, seterusnya meningkatkan keyakinan pemain untuk membawa pulang kejayaan.
Kenyataan ini menggambarkan semangat “Dari Tanjung Aru Untuk Sabah” — menjadikan sukan sebagai jambatan perpaduan dan simbol kemajuan komuniti muda negeri ini, seiring aspirasi PGRS dalam membina masyarakat yang bersatu, progresif dan berdaya saing.