UMS Perjelas Isu Tuntutan Pengurangan Yuran Mahasiswa

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum berhubung tuntutan sekumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa (SM) yang meminta pengurangan yuran susulan masalah bekalan air yang berlaku di kampus sejak beberapa bulan lalu.

Hasil pertimbangan mendalam daripada pihak Universiti setelah mendapat surat permohonan daripada kumpulan terbabit, pengurangan yuran pelajar tidak wajar dilaksanakan kerana amaun yang terlibat adalah lebih baik dimanfaatkan untuk menampung beberapa keperluan pembaikan fasiliti, khususnya berkaitan kemudahan air di dalam kampus.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang warga kampus, di mana penyelesaian terhadap isu air adalah lebih berimpak besar berbanding pengurangan yuran yang bersifat sementara. UMS komited memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan yang lebih kondusif dan selesa.

UMS dengan bantuan kewangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan telah mengambil pelbagai langkah proaktif dalam menangani isu bekalan air dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kontraktor penyelenggaraan. 

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah pembinaan sistem rawatan air bawah tanah (tubewell), pemasangan tangki simpanan air tambahan di lokasi strategik, pengagihan air secara berkala ke kolej kediaman melalui lori tangki,  pembelian air minuman untuk diagihkan kepada pelajar serta kerjasama berterusan dengan JANS bagi pemantauan bersepadu sistem bekalan air. 

Usaha ini membuktikan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara sepanjang tempoh krisis air berlaku.

Untuk makluman, pengurusan berkaitan yuran serta fasiliti adalah di bawah bidang kuasa universiti melalui Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Lembaga Pengarah Universiti. Justeru, isu ini ditangani secara langsung oleh pihak universiti dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Dalam masa yang sama, yuran pengajian di UMS telah diberi subsidi melebihi 90 peratus oleh kerajaan, manakala baki yang dibayar oleh mahasiswa adalah pada kadar yang amat minimum berbanding kos sebenar pengajian. 

Oleh itu, keputusan untuk tidak memberi pengurangan tambahan adalah selaras dengan usaha memastikan dana universiti digunakan bagi menambah baik fasiliti yang lebih mendesak dan memberi manfaat kepada semua pelajar.

Sehubungan itu, UMS ingin menegaskan bahawa Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi tidak sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini. UMS amat menghargai perhatian dan bantuan kementerian dalam menangani isu bekalan air serta pelbagai usaha lain demi kebajikan mahasiswa. 

UMS menyeru agar semua pihak terus memberi kerjasama dan menyalurkan pandangan melalui saluran yang betul supaya usaha membaik pulih infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan bersama.

UMS yakin bahawa dengan kerjasama erat antara mahasiswa, pengurusan dan kementerian, kesejahteraan seluruh kampus dapat dipertingkatkan.


Related Articles

253FansLike

Latest Articles