GAS umum senarai calon pada majlis pelancaran rasmi parti 21 Sept

Oleh: Gundohing John T

KOTA KINABALU: Parti Gemilang Anak Sabah (GAS) akan mengumumkan senarai calon pada majlis pelancaran rasmi parti itu yang akan diadakan di Beaufort pada 21 September ini.

Presiden GAS, Jismit Japong berkata, parti itu kekal komited untuk bertanding di 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi sekiranya ada permintaan daripada penyokong, maka parti itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi DUN.

“Sempena majlis pelancaran rasmi GAS, parti itu juga akan mengumumkan 10 manifesto. “Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GAS, yang telah saya pengerusikan sebentar tadi,” katanya pada sidang media, di Hotel Ria, Sembulan dekat sini, pada Ahad.

Katanya, majlis pelancaran rasmi GAS di Beaufort adalah bagi kawasan Pantai Timur dan parti itu akan mengadakan majlis yang sama bagi kawasan Pantai Barat dimana lokasi dan tarikh akan ditentukan kemudian.

“Kita jangkakan kira-kira 500 orang akan hadir pada majlis pelancaran rasmi GAS di Beaufort. Majlis ini turut diselitkan dengan persembahan tarian kebudayaan tempatan antaranya tarian kebudayaan Bisaya, Brunei, Murut dan sebagainya,” katanya.

Jismit berkata, GAS sudah melantik ketua-ketua bahagian dan telah bersiap siaga menghadapi PRN sebaik DUN dibubarkan.

Katanya, calon GAS akan dipilih melalui proses tender, dan setakat ini, parti itu telah menerima 286 resume daripada individu yang berminat.

Katanya, antara kriteria pemilihan calon ialah latar belakang pendidikan yang kukuh, rekod bersih tanpa pertuduhan jenayah, dan visi yang jelas untuk membangunkan kawasan pilihan raya mereka. Calon juga mesti membentangkan pelan induk lima tahun untuk kawasan masing-masing.

Jismit berkata landskap politik Sabah sekarang telah menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan kerana pelbagai kerjasama politik. Keadaan itu menyebabkan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan pengundi.

Sambil menyifatkan kerajaan negeri hari ini sebagai gagal disebabkan pelbagai isu kebajikan rakyat tidak dapat diselesaikan, Jismit menggesa rakyat untuk mengundi GAS kerana ia adalah parti baharu yang akan mengubah cara kepimpinan negeri.

“Saya menggesa rakyat Sabah untuk memberi peluang kepada GAS. Kami adalah parti baharu yang mempunyai visi untuk mengubah cara negeri ini ditadbir,” katanya sambil menegaskan keutamaan GAS adalah untuk mendapatkan autonomi yang lebih besar untuk Sabah.

“Jika diberi mandat, kami akan memastikan Sabah mentadbir sendiri dan membuat keputusan secara bebas, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana Sabah diiktiraf sebagai rakan kongsi yang sama rata.

Kami juga akan mendesak pengembalian 40 peratus kelayakan hasil bersih melalui pendekatan kerajaan-ke-kerajaan,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa pengundi untuk menyokong parti tempatan dan bukannya “parti luar dan proksi mereka” di Sabah.

“Sabah kaya dengan sumber asli, tetapi kekayaannya telah digadaikan kepada orang luar dan bukannya dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya.

Jismit berkata, Sabah juga memerlukan hospital awam sendiri kerana kemudahan yang sedia adalah dimiliki oleh kerajaan pusat.

“Adalah lebih baik pengurusan hospital awam sendiri itu ditadbir oleh kerajaan negeri dan GAS memberikan jaminan akan melaksanakan perkara itu sekiranya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan selepas PRN17 nanti,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles