Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD: Tongod bakal mencatat rekod sebagai daerah pertama di Sabah menyediakan kawasan khas untuk tapak perkampungan baharu bagi menempatkan rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara terancang di daerah itu.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pelan itu merupakan kerangka baharu hala tuju SMJ yang dicadangkan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada tahun hadapan.
Beliau menyatakan demikian, sejurus menyampaikan kunci dua unit rumah SMJ yang baru siap di Kampung Purutowai di sini, petang semalam.
” Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mengenalpasti kawasan strategik untuk diwartakan sebagai perkampungan baharu SMJ.
” Kita yakin sebaik sahaja kerajaan negeri pada hari dapat membentuk semula kerajaan baharu, maka perkampungan SMJ ini akan diwujudkan sebagai modul pertama di Sabah, ” tegasnya.
Manurut Masiung, jika usaha membina penempatan baharu itu menjadi realiti, maka langkah mewujudkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik akan lebih mudah dan terancang.
Selain itu katanya, apabila bilangan rumah SMJ semakin bertambah dari tahun ke setahun, kerajaan lebih mudah menempatkan kemudahan awam seperti dewan, tabika dan klinik di kawasan terbabit.
Pada masa ini Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memperuntukan 40 buah rumah setiap DUN dengan kos RM3.2 juta.
Bantuan rumah SMJ yg diperkenalkan kerajaan negeri sekarang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang berkelayakan.
Pegawai Daerah Tongod, Mohd Yuseri Ismail Yusof dan PPM, Tokyo Hasim Omar turut hadir di majlis itu.
