Kekurangan Fasiliti di Hospital Duchess of Kent, Suhaimi Desak Pembinaan Hospital Baharu di Libaran

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir mendesak agar cadangan pembinaan hospital baharu di Parlimen Libaran dipertimbangkan dan disegerakan oleh kerajaan berikutan masalah fasiliti awam yang semakin kritikal di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Menurut beliau, HDOK kini beroperasi di luar kapasiti asal dan tidak lagi mampu menampung beban pesakit yang bukan sahaja datang dari Sandakan, tetapi juga dari kawasan Libaran, Beluran, Telupid dan Kinabatangan.

“Wad pesakit sering penuh, kekurangan katil menjadi isu harian dan pesakit terpaksa menunggu lama atau ditempatkan di laluan koridor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa masalah tempat letak kenderaan (parkir) di hospital tersebut juga semakin meruncing. Ketiadaan ruang mencukupi telah menyulitkan urusan pesakit, waris dan kakitangan hospital.

Suhaimi berkata, beliau telah berulang kali membangkitkan isu ini di Parlimen dan DUN Sabah sejak beberapa penggal yang lalu, namun projek pembinaan hospital baharu di kawasan Libaran masih belum disenaraikan dalam mana-mana Rancangan Malaysia Ke-10, Ke-11 mahupun Ke-12.

“Ini sangat mengecewakan sedangkan populasi penduduk Sandakan kini melebihi 500,000 orang,” ujarnya.

Beliau yakin penubuhan hospital baharu di kawasan Libaran bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan di HDOK, malah mampu meningkatkan capaian kesihatan kepada penduduk luar bandar termasuk di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia mempercepatkan penambahan tenaga pakar dan kemudahan di HDOK, khususnya dalam bidang kardiologi, bius, kecemasan dan pediatrik, antara perkhidmatan kritikal yang masih belum mencukupi di hospital berkenaan.

“Rakyat Libaran dan seluruh Pantai Timur Sabah berhak menikmati sistem kesihatan yang adil dan efisien. Ini bukan isu politik, ini isu nyawa dan kebajikan rakyat,” tegas beliau.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menegaskan bahawa beliau akan terus memperjuangkan isu ini agar tidak lagi tertangguh, dan demi memastikan rakyat Sabah mendapat kemudahan kesihatan yang setara dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Ini bukan isu politik. Ini soal kebajikan dan kesihatan rakyat. Libaran dan Pantai Timur Sabah juga berhak menikmati kemudahan kesihatan setaraf negeri lain,” tegasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles