Oleh: JT
PENAMPANG: Penaiktarafan jalan Terian–Buayan dan penyukatan tanah di Kg.Togudon yang sekian lama dinanti-nantikan oleh penduduk kampung kini sedang dilaksanakan melalui Program PANTAS.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk projek tebatan banjir di Donggongon, penaiktarafan Tamu Donggongon dan pembinaan Jambatan Babagon.
“Ini adalah komitmen saya untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan ini dengan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi.
“Semua projek ini adalah antara perubahan ketara yang dapat dilihat dalam tempoh dua tahun setengah sejak saya diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Zon Kolopis, di sini, pada Ahad.
Ewon berkata, segala usaha pembangunan Penampang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024–2035, yang akan menjadi rujukan utama bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun 2026.
Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata kementeriannya telah memperkenalkan beberapa kemudahan dan inisiatif di Penampang, termasuk pembukaan pejabat Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), cawangan TEKUN Nasional, Studio live Tiktok dan Hab PMKS Sabah.
Mengenai sambutan Kaamatan, Ewon berkata, sambutan ini bukan sekadar kebudayaan, tetapi wadah memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Pada majlis itu, Beliau bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Khairat Kematian Kampung Kolopis, menerusi peruntukan Ahli Parlimen Penampang.