UMNO/BN Sabah miliki tokoh berwibawa untuk jadi Ketua Menteri, kata Musli Oli

KOTA KINABALU: Kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 telah menimbulkan pelbagai spekulasi, terutama mengenai calon Ketua Menteri.

Walaupun gabungan itu dilihat sebagai kekuatan baru dalam politik Sabah, namun persoalan siapa bakal memimpin negeri ini sekiranya mereka menang telah menjadi tumpuan.

Penganalisis politik telah menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan tokoh berwibawa dalam kalangan gabungan BN-PH, terutama di pihak PH Sabah yang pengaruh komponennya seperti PKR, DAP, Amanah, dan UPKO dianggap kecil di Sabah.

Namun, menurut penulis dan penganalisis politik Gundohing Musli Oli, bagi UMNO/BN yang pernah dominan di Sabah, isu calon Ketua Menteri dilihat tidak begitu rumit.

“Jika Datuk Seri Bung Moktar Radin dianggap tidak sesuai kerana terpalit dengan kes mahkamah, UMNO Sabah masih mempunyai beberapa pilihan, termasuk Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Dalam konteks ini, Salleh muncul sebagai calon yang menarik untuk dipertimbangkan,” katanya.

Musli berkata ADUN Usukan yang juga Bendahari UMNO Sabah itu mempunyai rekod dan pengalaman yang luas dalam arena politik.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Menteri Sabah dari tahun 1994 hingga 1996, serta beberapa jawatan penting, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam kabinet Persekutuan, katanya.

Beliau berkata pengalaman itu memberikan beliau pemahaman yang mendalam bukan sahaja mengenai selok-belok pentadbiran, tetapi juga dalam hubungan Pusat dan Sabah.

“Dalam.keadaan sekarang Sabah perlukan seorang pemimpin politik yang dapat meredakan ketegangan hubungan Negeri-Pusat berikutan isu-isu sensitif cuba ditimbulkan beberapa pemimpin politik negeri sejak sekian lama, lebih-lebih lagi menjelang PRN.

“Salleh dilihat pilihan terbaik untuk memainkan peranan itu,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles