Kenyataan Media Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan,Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah,
Ahli Dewan Undangan Negeri N.68 Apas,
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
KOTA KINABALU: Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung keutamaan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri Sabah.
Sebagai Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), saya sepenuhnya menyokong pendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran negeri — kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.
GRS bukan sahaja membawa suara tempatan, malah terbukti berjaya memimpin Sabah ke arah kestabilan dan pembangunan melalui dasar-dasar berteraskan Halatuju Sabah Maju Jaya. Ketegasan GRS untuk tidak mengabaikan aspirasi akar umbi akan sentiasa menjadi keutamaan, apatah lagi ketika wujud perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala gagal mengambil kira sensitiviti dan konteks politik negeri ini.
Kami menghormati peranan parti-parti nasional dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mesti berpaksikan prinsip saling menghormati — bukan dengan meminggirkan kekuatan dan suara tempatan. Mana-mana percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tanpa melalui saluran muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah.
Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan, dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah.