Oleh Aktivis Sosial Dr Jikat Binol Darimbang
KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Menteri Sabah berkenaan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri akan datang telah mencetuskan reaksi positif dalam kalangan rakyat Sabah.
Ungkapan tegas bahawa GRS akan bergerak tanpa campur tangan parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia disambut dengan rasa lega dan sokongan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Secara simbolik, kenyataan ini dianggap sebagai satu bentuk pembebasan daripada dominasi politik luar yang selama ini dilihat menyekat ruang Sabah untuk mengurus tadbir urusnya secara bebas.
Rakyat menyamakan pernyataan ini dengan pembukaan jeriji penjara, yang selama ini telah membataskan hak dan kebebasan negeri dalam menentukan halatuju pembangunan sendiri.
Keberanian Ketua Menteri mengambil pendirian ini menandakan kemunculan seorang pemimpin negeri yang bersifat progresif dan berprinsip, yang sanggup menongkah arus demi masa depan Sabah yang lebih sejahtera. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi rakyat yang mendambakan satu kepimpinan tempatan yang benar-benar memahami keperluan dan realiti sosioekonomi negeri.
Langkah ini juga boleh dilihat sebagai satu manifestasi semangat autonomi politik Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Dalam konteks ini, keinginan untuk memperkukuh pentadbiran tempatan tanpa campur tangan luar adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan semangat federalisme yang adil dan seimbang.
Kesimpulannya, kenyataan Ketua Menteri ini merupakan titik tolak kepada satu era baharu dalam landskap politik Sabah. Dengan prinsip berdikari dan tekad memperjuangkan kepentingan negeri, diharapkan kepimpinan ini akan terus memperjuangkan pembangunan yang mampan dan inklusif demi memastikan Sabah terus Maju Jaya dalam kerangka Persekutuan Malaysia.