TAWAU: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyampailan ceramah “Kemenangan Malaysia Dalam Tuntutan Sulu” sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Sabah 2025, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, hari ini.
Ceramah itu adalah antara pengisian sepanjang PMR Sabah yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini sehingga Ahad.
Ia bertujuan memberikan pemahaman kepada rakyat khususnya di Sabah mengenai usaha dan kejayaan kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan tidak berasas oleh pihak yang mengaku waris Kesultanan Sulu di mahkamah luar negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang turut hadir bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian serta pengunjung yang hadir pada sesi ceramah itu, berkata ceramah itu amat penting bagi rakyat Sabah.
“Bagi pihak pimpinan Sabah dan rakyat Sabah amnya kita ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada kerajaan persekutuan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh Datuk Seri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menangani tuntutan Sulu yang telah difailkan oleh pihak tertentu di beberapa mahkamah di luar negara.
“Kita telah memperolehi kemenangan dan ini membuktikan bahawa tuntutan Sulu tersebut tidak berasas.
“Ini merupakan satu kejayaan yang sangat signifikan dan sangat bermakna yang dicapai oleh Kerajaan MADANI,” katanya ketika ditemui pemberita selepasa sesi ceramah itu.
Ewon berkata, rakyat Sabah amat menghargai kejayaan itu dan melihatnya sebagai satu legasi yang telah dicapai oleh Kerajaan MADANI.
“Sebagai anggota kabinet Persekutuan, saya berbangga menjadi sebahagian daripada kabinet yang telah memastikan kemenangan untuk Malaysia,” katanya.