SIPITANG: Satu Mesyuarat Penyelarasan Khas Isu Jalan Mendulong-Long Pasia telah diadakan di Majlis Daerah Sipitang semalam, bagi mencari penyesaian terbaik menangani kerosakan jalan tersebut yang sering dihadapi oleh penduduk di sekitarnya.
Mesyuarat khas itu dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M. Zahari.
Selain dihadiri jabatan kerajaan yang berkaitan, mesyuarat turut dihadiri pihak berkepentingan penyelenggaran jalan tersebut iaitu syarikat konsesi penyelenggaran dan syarikat pembalakan yang menggunakan jalan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta Ketua Kampung turut hadir dari Kampung Bamban, Mendulong, Lumampau, Ulu Bole, Mengayam, Rundulang, Meligan, Iburu, Long Mio dan Long Pasia.
Mengulas mesyuarat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, masalah kerosakan jalan antara Mendulong – Meligan – Long Pasia telah mendapat perhatian serius.
“Saya sebagai ADUN menerima laporan mengenai kesukaran penduduk di situ untuk turun naik berurusan di bandar (Sipitang) seperti menjual barangan hasil pertanian mereka dan juga kesukaran oleh petugas kerajaan seperti di Klinik Kesihatan, guru-guru atau sesiapa sahaja yang ingin berurusan di Meligan, Long Pasia.
“Jalan ini sangat teruk ketika ini terutama musim hujan dan perlu perhatian. Sebab itu pada hari ini kita minta Jurutera Daerah JKR (Jabatan Kerja Raya) beri taklimat tentang keadaan jalan ini dan apa sedang berlaku,” katanya.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, pada hari ini (semalam) semua pihak berkepentingan hadir pada mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah bersama dengan Jurutera Daerah JKR, Polis, Jabatan Perhutanan, Jabatan Tanah dan Ukur dan semua yang ada kepentingan.
Katanya, juga dijemput pemimpin setempat dari Mendulong hingga ke Long Pasia kalangan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) supaya mereka mendengar dan faham isu ini.
Beliau berkata, wakil syarikat pembakalan dan syarikat konsesi selenggara jalan tersebut juga hadir pada mesyuarat itu.
Menurutnya, punca sebenar jalan tersebut rosak akibat lori balak yang mengangkat muatan berat melalui jalan tersebut semasa musim hujan.
“Telah dipesetujui oleh syarikat balak supaya tidak membenarkan lori membawa muatan kayu balak bergerak ketika waktu hujan.
“Kita juga mengemukakan cadangan supaya jalan yang rosak ini di bahagian tertentu supaya diperbaiki secara agresif atau proaktif samada ditimbun batu atau dibuat jalan konkrit sebagai jalan penyelesaian.
“Ataupun bagi bahagian jalan yang sensitif dibuat jalan lencongan untuk laluan kenderaan kecil jika jalan di kawasan tersebut rosak, itu kita cadangkan untuk penyelesaian,” katanya.
Dr Yusof berkata, turut disuarakan pada mesyuarat itu adalah jalan antara Mendulong – Meligan yang sudah ada kelulusan naiktaraf, disegerakan kerja naiktaraf kerana kepentingan jalan itu sebagai untuk mengangkut hasil pertanian seperti kopi, sayur-sayuran, nanas ke Sipitang,
Katanya, JKR, Kerajaan Negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diminta menyegerakan kerja naiktaraf jalan tersebut supaya kontraktor dapat memulakan kerja naiktaraf itu.