Kemenangan PAP Singapura – pengajaran berguna untuk Sabah – Salleh

KOTA KINABALU: Keputusan
Pilihan Raya Umum Singapura 2025 yang menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) terus diberi mandat besar memberi pengajaran berguna untuk Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat Singapura terus memberi mandat kepada PAP dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi meskipun rakyat berdepan isu kos sara hidup.

“Ini memberi mesej jelas – dalam suasana tidak menentu, rakyat cenderung memilih kestabilan dan kepimpinan yang berpengalaman serta disokong oleh parti yang terbukti kukuh,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga ADUN Usukan berkata
Sabah dan Singapura berbeza dari segi budaya, geografi dan sistem politik, namun terdapat satu persamaan penting iaitu pengundi semakin bijak dan rasional dalam membuat pilihan.

Beliau berkata pengundi menilai pemimpin berdasarkan komitmen dan kesungguhan, serta melihat sejauh mana parti yang mereka wakili mampu memberi hala tuju yang jelas dan membawa hasil.

“Ia bukan lagi soal personaliti semata-mata — rakyat menilai kesatuan antara kepimpinan dan kekuatan organisasi politik di belakangnya.

“Politik peribadi dan janji kosong tanpa tindakan semakin tidak relevan. Yang dinilai rakyat ialah keupayaan satu pasukan — gabungan pemimpin dan parti untuk menangani isu sebenar seperti peluang pekerjaan, kemudahan asas dan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Menurut Salleh, pengajaran paling nyata daripada keputusan Singapura ialah ialah rakyat memberi kepercayaan kepada gabungan yang stabil, berwibawa dan boleh diyakini — bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi melalui kerja yang terbukti.

“Masa depan politik Sabah bergantung kepada keupayaan kita membina kepercayaan itu dengan tindakan, bukan sekadar janji,” katanya,

Related Articles

253FansLike

Latest Articles