Pagi di Penampang, petang di Kadamaian, saya komited tanggungjawab saya – Ewon

KOTA BELUD: Ahli Parlimen Penampang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, komited melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kedua-dua kawasan yang diwakilinya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi meluangkan masa bersama rakyat dalam beberapa program bersempena sambutan Pesta Kaamatan di dua lokasi berbeza pada hari cuti umum Hari Pekerja.

“Hari ini cuti Hari Pekerja, tetapi sebagai wakil rakyat, inilah masanya kita menyantuni rakyat. Pagi tadi saya di Penampang dan sebelah petang pula di Kadamaian kerana saya komited terhadap tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat di kedua-dua kawasan,” katanya selepas menghadiri program di Penampang dan Kadamaian, hari ini.

Ewon memulakan hari dengan menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu ke-20, di Gereja St Michael, Penampang.

Misa sempena sambutan Pesta Kaamatan itu dipimpin oleh Bapa Uskup Datuk John Wong dan turut dihadiri oleh Duta Vatikan ke Malaysia, Most Rev Archbishop Wojciech Zaluski.

“Semoga sambutan ini mengeratkan kesatuan dan kebersamaan kita,” katanya.

Pada sebelah petang, Ewon menghadiri dan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Nahaba, Kadamaian seterusnya menyempurnakan perasmian Dewan Terbuka Tamu Desa kampung itu.

“Kemudahan Tamu Desa Nahaba siap dibina tahun lalu menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah inisiatif tambahan khas bagi Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya kemudahan ini akan memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya para usahawan yang majoritinya terdiri daripada golongan ibu dan wanita,” katanya.

Sempena program itu, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk pemasangan kipas dan lampu solar di bangunan Tamu Desa.

Beliau turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Gereja SIB Kg Nahaba bagi pembinaan tandas seperti yang dimohon oleh pihak gereja.

Selain itu, beliau meluluskan peruntukan khas menteri berjumlah RM50,000 untuk pembinaan sebuah astaka di padang kampung bagi kegunaan komuniti.

Ewon meneruskan programnya ke Kampung Mangkulat bagi menyampaikan hadiah pertandingan badminton anjuran Gen-Y Mukim Gaur.

“Saya turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM15,000 kepada JKKK Kg Mangkulat untuk pemasangan beberapa tiang lampu solar di jalan perumahan serta kerja-kerja menabur batu kelikir di jalan menuju ke Gereja SDA kampung ini,” katanya.

Ewon mengakhiri program hari ini dengan menziarahi sebuah keluarga di Kg.Gaur.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles