KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) merancang untuk menganjurkan jerayawara menerusi beberapa forum Fiqah Kenegaraan di seluruh Sabah.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata forum fiqah kenegaraan itu bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat, terutama umat Islam tentang dasar-dasar kenegaraan di negara ini.
Katanya ini termasuk dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yamg menurutnya perlu dipromosi supaya rakyat tahu apa sebenarnya visi dan misi SMJ dan tahap kebersamaan rakyat dalam menjayakan dasar kenegaraan.
“Kita telah pun menganjurkan forum ini di Kota Kinabalu baru-baru ini dan kita bercadang untuk mengadakan forum fiqah kenegaraan di lima lagi zon di Sabah, sama seperti forum Malaysia Madani yang USIA anjuran di enam Zon sebelum ini,” katanya.
Sapawi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Ukhuwah Madani (Aidilfitri) di Menara USIA I Borneo, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung USIA Datuk Iman Ali.
Selain Zon Kota Kinabalu, Zon lain yang dikenalpasti ialah Sandakan, Zon Tawau, Zon Pantai Barat Utara di Kudat , Zon Pedalaman Bawah di Sipitang dan Zon Pedalaman Atas.
Sapawi berkata Forum Figah Kenegaraan itu dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia.
Mengenai program Ukhuwah Madani atau sambutan Aidilfitri USIA, beliau berkata majlis itu antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim antara masyarakat, keluarga, kakitangan dan pemimpin USIA, daripada pelbagai kaum dan agama.