KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memperincikan senarai produk barangan makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranyamasih berada di pasaran tempatan di negeri ini.
Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, sehingga malam tadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, masih mengadakan perbincangan bersama JAKIM untuk memastikan produk berkenaan dikeluarkan segera dari pasaran negara.
Katanya, langkah ini sudah tentu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna sama ada produk terbabit masih berada dalam pasaran di negeri ini.
“Sebaiknya KPDN mengambil langkah drastik sekali gus membuat pengumuman berkaitan perincian produk makanan agar orang ramai terutama pengguna beragama Islam tidak keliru.
“Arahan pengumuman rasmi sudah dikeluarkan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia semalam berhubung penarikan balik produk terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Aslee merupakan Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, KPDN tidak lagi perlu menunggu lama sebaiknya bersama-sama JAKIM untuk memastikan produk berkenaan dapat dikeluarkan segera dari pasaran tempatan terutama di negeri Sabah.
“Negeri Sabah sangat terdedah dengan kemasukan produk makanan berasal dari Negara Indonesia melalui pintu masuk daerah Tawau.
“Jadi jangan berlengah lagi…..Lakukan tindakan segera bersama agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia,” kata Awang Aslee.
Semalam Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan JAKIM untuk memastikan produk berkenaan dikeluarkan segera dari pasaran negara.
Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengeluarkan produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya berada di pasaran tempatan.