Pejabat baru SKM Langkawi ‘pusat sehenti’ perkasakan gerakan koperasi: Ewon

LANGKAWI: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pejabat baharu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Langkawi kini berperanan sebagai pusat sehenti (one-stop centre) dalam memperkasakan gerakan koperasi di sini.

Beliau berkata, ini kerana pejabat yang telah dinaik taraf itu dilengkapi dengan kemudahan fizikal yang moden, termasuk ruang kerja selesa untuk warga SKM serta bilik seminar yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi untuk mesyuarat, latihan dan bengkel pembangunan kapasiti.

“Pejabat ini bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi turut menyediakan bimbingan teknikal, perundingan perniagaan, serta ruang pembelajaran dan perkongsian ilmu bagi menyokong pembangunan koperasi secara menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan Pejabat SKM Wilayah Langkawi, Kedah, hari ini.

Ewon berkata, pejabat itu akan menjadi platform strategik untuk pelbagai program pembangunan koperasi dan latihan keusahawanan, seiring usaha menjadikan koperasi sebagai pilihan utama rakyat dalam menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

“Pelaksanaan program pembangunan koperasi haruslah selaras dengan dasar semasa kerajaan, khususnya Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM),” katanya.

Beliau berkata, gabungan dasar yang mantap, pelaksanaan program yang berkesan dan sokongan infrastruktur seperti pejabat ini dapat memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Projek menaik taraf pejabat ini telah dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2,202,000.00, dibiayai melalui gabungan dana Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Dana One-Off National Key Economic Area (NKEA).

Projek ini bermula pada 18 Oktober 2023 dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal pada 3 Oktober 2024.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kejayaan menyiapkan projek ini mengikut masa serta spesifikasi yang ditetapkan,” kata Ewon.

Setakat ini, terdapat 83 koperasi aktif di Langkawi yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pelancongan, kredit, peruncitan, pengangkutan dan pertanian.

“Dengan adanya kemudahan seperti ini, ia mampu memberi impak besar dalam membantu koperasi-koperasi ini berkembang serta terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Langkawi,” kata Ewon.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles