KOTA KINABALU: Kejayaan sesebuah organisasi politik banyak bergantung kepada semangat berpasukan, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata banyak perkara boleh dicapai apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing.
“Tidak kira kedudukan—sama ada pemimpin tertinggi atau petugas akar umbi—setiap orang ada peranan penting. Usaha semua akan menyumbang kepada kejayaan bersama.
“Kejayaan politik bukan hasil kerja seorang individu. Ia lahir daripada kerjasama, sokongan sesama sendiri, dan fokus kepada matlamat yang sama
“Sama ada berucap di pentas atau mengurus di lapangan, semua tugas ada nilai. Peranan yang jelas dan ruang untuk menyumbang akan mengukuhkan organisasi,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Menurut Salleh yang juga Adun Usukan, budaya kerja berpasukan yang sihat sangat penting.
“Ahli harus rasa dihargai, didengar, dan diberi kepercayaan.
“Rasa kepunyaan tidak datang dengan sendiri—ia perlu dipupuk dengan kepercayaan dan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya.
Salleh berkata perbezaan pendapat atau personaliti merupakan perkara biasa dalam mana-mana pasukan.
“Apa yang penting ialah bagaimana kita urus perbezaan itu. Bincang dengan matang, hormat pandangan orang lain, dan kekal fokus pada matlamat bersama,” katanya.
Salleh berkata perbezaan itu diharap tidak menjadi punca serangan peribadi atau konflik dalaman kerana menurutnya sikap demikian hanya melemahkan pasukan.
“Perpaduan dalaman bukan bermaksud semua perlu diam. Kita boleh bersuara dan beri pandangan—dengan cara yang membina dan penuh hormat.
“Pemimpin perlu tunjuk contoh—dengar pandangan, libatkan semua, dan selesaikan perbezaan dengan cara yang positif,” tambah beliau.
Oleh itu, katanya sikap penting diri atau ego berlebihan harus ditinggalkan kerana Ia boleh rosakkan semangat pasukan.
“Organisasi yang kuat bersatu atas matlamat bersama, hargai sumbangan semua, dan bina rasa kekitaan dalam pasukan.
“Politik bukan soal siapa berkuasa, tapi bagaimana kita boleh satukan semua untuk capai matlamat bersama. Bila kita bersatu, kita lebih kuat,” katanya,