Jelajah Iftar 2025 KTC dan UPPM Terus Semarak di Sandakan

SANDAKAN – Program Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama UPPM Sabah diteruskan lokasi ke-13, kawasan Parlimen ke-20, meliputi kawasan Parlimen Sandakan, Libaran dan Batu Sapi, merangkumi kawasan DUN Tanjong Papat, Elopura, Karamunting, Sekong, Sungai Sibuga, Sungai Manila dan Gum-Gum.

Senator Anna Belle yang hadir selaku tetamu kehormat memuji inisiatif KTC dan UPPM dalam menganjurkan program ini yang disifatkan luar biasa, dengan penyertaan pemimpin dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, dan memberi sumbangan kepada golongan kurang upaya, asnaf serta mereka yang memerlukan, meringankan beban keluarga berkenaan.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau pula berasa gembira melihat suasana majlis buka puasa di Sandakan sangat meriah dengan kehadiran ribuan orang.

Sebagai pihak swasta dan korporat, beliau amat berbesar hati dapat menyumbang kepada golongan yang memerlukan serta memastikan mereka yang kurang berkemampuan tidak dipinggirkan.

Tambah beliau, sepanjang jelajah ini, selain program seperti Shopping Raya dan majlis berbuka puasa di 25 lokasi seluruh Sabah, turut diadakan pelbagai aktiviti tambahan termasuk lawatan serta penyampaian sumbangan kepada rumah anak yatim dan organisasi kebajikan lain.

Datuk Dexter turut berharap agar lebih banyak pihak tampil berganding bahu untuk memberi sumbangan serta manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Ketika ini, KTC mempunyai seramai 1,300 orang tenaga kerja. Dengan pembangunan terbaharu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), KTC menjangkakan jumlah tenaga kerja akan meningkat kepada 1,800 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang, merangkumi operasi di seluruh Malaysia dan Indonesia.

Majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Daerah Sandakan ini dihadiri 1500 orang, termasuk 100 orang daripada golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas yang menerima sumbangan duit raya daripada Qhazanah Sabah Berhad.

Turut hadir termasuk ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Walliam, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, Hazem Tun Musa, pemimpin tempatan, wakil KTC, serta pegawai-pegawai UPPM.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles