KENINGAU: Ketua Exco Wiramuda StarSabah Jordan Jude Ellron menyelar kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan tidak layak berbicara soal kesetiaan dan kepercayaan.
Beliau berkata tuduhan itu jelas tidak berasas dan cuba mengaburi fakta sebenar daripada pengetahuan rakyat.
Sambil mempertahankan kenyataan Jeffrey sebelum ini , Jordan berkata berkata pihak UMNO-BN wajar cermin perbuatan sendiri sebelum membuat tuduhan seumpama itu.
Menurut Jordan, Presiden StarSabah hanya mengingatkan UMNO Barisan National (BN) bahawa semasa PRN-16 Sabah, mereka telah bersetuju untuk bertanding 27 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun akhirnya mereka meletakkan calon di 41 kerusi DUN di Sabah.
“Ini merupakan fakta yang tidak boleh disangkal selain pelanggaran terhadap persetujuan awal, yang mencerminkan sikap tidak konsisten dan tidak menghormati persefahaman dan kerjasama di dalam Gabungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Malangnya, istilah “friendly contest” hanya dijadikan alasan untuk menutup tindakan sebenar mereka yang tamak kuasa dan mahu bertanding di sebanyak mungkin kerusi.
Jordan mengingatkan bahawa, UMNO-BN tidak pernah mengambil tindakan terhadap calon PBRS di Ranau pada PRU-15 lalu, walaupun PBRS jelas telah melanggar kesepakatan dan tidak selari dengan pendirian gabungan ketika itu.
“Tindakan berdiam diri ini menunjukkan kegagalan BN untuk mengawal dan mengotakan janji mereka dalam kesepakatan ketika itu.
“Fakta penting yang perlu diingatkan adalah BN sukar untuk memenangi kerusi majoriti masyarakat pedalaman dalam PRU-15 lalu, satu-satunya kerusi kawasan pedalaman yang dimenangi oleh BN ialah di Pensiangan, itupun dengan bantuan dan dukungan penuh jentera PN-(GRS).
“Tanpa kerjasama itu, belum tentu kerusi tersebut berpihak kepada BN,” katanya.
Jordan berkata ini menunjukkan bahawa masyarakat pedalaman kurang menaruh kepercayaan kepada BN untuk mewakili perjuangan mereka.
“Sebaliknya, mereka beralih kepada parti-parti tempatan yang lebih memahami aspirasi dan kepentingan rakyat Sabah.” Kata Jordan.
Tambahan Jordan, Presiden StarSabah tidak pernah memutar belit sejarah.
Beliau sekadar menyatakan kebenaran dan menyuarakan prinsip bahawa StarSabah hanya akan bekerjasama dengan pihak yang jujur, berprinsip dan benar-benar menghormati semangat kesepakatan politik, bukannya mereka yang hanya setia di bibir tetapi bertindak sebaliknya.
“Sebagai Ketua Exco Wiramuda StarSabah, saya menegaskan bahawa generasi muda hari ini mahukan politik yang matang, telus dan berpegang pada integriti.
“Rakyat Sabah sudah bijak menilai siapa yang benar-benar berjuang, dan siapa yang hanya menunggang MA63 di dalam manifesto mereka.
“UMNO-BN telah berkuasa lebih daripada dua dekad di Sabah, namun tidak pernah berhasrat untuk menunaikan MA63 demi kebaikan dan masa depan Sabah,” katanya,