KENINGAU – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah telah menganjurkan Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, dengan Keningau menjadi destinasi ke-12 dalam program ini, petang tadi.
Seramai 50 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Keningau dibawa membeli pakaian Raya di Servay Jaya Keningau bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya, sebagai usaha meringankan beban dan memberikan keceriaan pada musim perayaan.
Semasa ditemui pemberita, Isteri Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin Kitingan, menzahirkan rasa gembira dan bangga kerana program ini diadakan di Keningau.
Datin Cecilia merakamkan ucapan terima kasih kepada penaja program ini, KTC, dan berharap program yang bermakna ini dapat diteruskan pada tahun depan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai yang memerlukan.
Manakala Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, pula berasa amat berbesar hati kerana isteri ADUN tempatan hadir untuk memberi sokongan.
Beliau juga berasa gembira melihat wajah kanak-kanak yang ceria menerima pakaian raya baharu.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda, yang turut hadir, merakamkan penghargaan kepada KTC dan Datuk Dexter Lau yang murah hati menganjurkan program jelajah iftar ke 25 kawasan Parlimen di Sabah. Beliau berharap lebih ramai syarikat mencontohi dan turut serta dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Yee Tsai Yiew, Datin Asiah Doreen, Datin Nurul Ililiyana, Datin Tengku Adlina Marita, pemimpin tempatan, wakil KTC dan pegawai UPPM.