SANDAKAN: Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada susulan hujan berterusan yang mengakibatkan kejadian banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang di kawasan Karamunting sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata pihaknya menerima beberapa laporan insiden itu, termasuk empat kejadian tanah runtuh, empat pokok tumbang dan dua kes banjir di kawasan berkenaan.
“Pasukan saya, iaitu Task Force Team ADUN Karamunting, telah turun padang selama dua hari untuk meninjau kawasan terjejas dan menyerahkan bantuan kewangan kepada dua keluarga yang paling terkesan akibat bencana ini,” katanya.
Menurut laporan pasukan tugas itu, kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di Jalan Wong Kon Sung, Jalan Cecily, Kampung Gelam Bukit, jalan dari Cecily ke Bandar Indah serta kawasan berhampiran Tanah Perkuburan Cecily.
Salah satu insiden membabitkan sebatang pokok besar yang tumbang lalu menghempap sebuah rumah kayu di Kampung Gelam Bukit, namun penghuni rumah itu dilaporkan selamat. Kejadian pokok tumbang lain turut berlaku di Jalan Seng Kee dan kawasan PPR Karamunting.
George berkata, pelbagai agensi bertindak pantas bagi kerja pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas, termasuk Jabatan Kerja Raya, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Telekom, Majlis Perbandaran Sandakan, Angkatan Pertahanan Awam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua kampung.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menangani isu keselamatan dan bencana di kawasan itu.
“Kita akan terus memantau situasi dan memastikan tindakan segera diambil untuk membantu penduduk yang terjejas, termasuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang musim hujan dan segera melaporkan sebarang risiko keselamatan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.