Priscella Peter – Cipta Sejarah Pemimpin Wanita Muda Ketuai Parti Politik Tempatan Sabah

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin wanita muda yang sentiasa merendah diri dan mesra rakyat walaupun sedikit pemalu, Priscella Peter yang baharu diberi mandat menjalankan tugas presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), sudah mula menunjukkan “taring” politik dan kualiti kepimpinannya.

Hanya dua hari selepas memegang jawatan itu, pemimpin berusia 27 tahun itu dengan lantang membuat kenyataan bagi menyuntik semangat penyokong dengan menzahirkan keyakinannya bahawa KDM bakal berada dalam kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang.

“Kami akan berjuang untuk kesejahteraan rakyat Sabah; yakinlah bahawa kami boleh mencapai ini, dan KDM pasti akan menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas pilihan raya,” kata Priscella baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau menekankan komitmen parti untuk mempertahankan dan menegakkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Priscella, seorang graduan dari Curtin University Australia dengan ijazah sarjana dalam bidang perakaunan, mengambil alih jawatan kepimpinan di KDM selepas bapanya, Datuk Peter Anthony, presiden parti, dipenjarakan.

Dengan pelantikan itu, Priscella telah mencipta sejarah dalam landskap politik Sabah dengan menjadi wanita pertama yang memimpin sebuah parti tempatan.

“Saya melihat Priscella sebagai seorang pemimpin muda berpotensi, berwawasan dan berpendidikan serta berkemampuan memimpin parti KDM.

“Sebagai salah seorang pengasas parti KDM, ditambah dengan karisma bapanya dan kesetiaannya kepada perjuangan parti, saya percaya Priscella mempunyai masa depan politik yang cerah di Sabah,” kata penganalisis politik Salman Nurillah.

Mengambil contoh situasi di rantau ini di mana ramai wanita yang memimpin parti politik, Salman berpendapat bahawa tidak mustahil Sabah juga mampu melahirkan pemimpin wanita yang berkebolehan setanding dengan lelaki pada masa depan.

Malah, katanya, kira-kira 30 peratus negara di seluruh dunia mempunyai pemimpin wanita atau ketua wanita, sekali gus menonjolkan pencapaian kaum hawa yang signifikan.

“Sama ada sebagai ketua negara, kerajaan, atau parti politik, wanita-wanita ini jelas menunjukkan bahawa mereka boleh memimpin.”

“Oleh itu, tanggapan umum bahawa pemimpin wanita tidak layak untuk memimpin parti politik adalah tidak berasas sama sekali,” tambahnya.

Salman percaya dengan mengambil kira landskap politik yang unik dan sentiasa bergolak di Sabah, Priscella mungkin berdepan tugas mencabar untuk mengukuhkan parti dan meraih sokongan rakyat.

“Namun, saya optimis bahawa dengan pengaruh dan sokongan Timbalan Presiden Datuk Wetrom Bahanda, Priscella boleh membawa KDM ke era kecemerlangan dan mungkin boleh memenangi banyak kerusi DUN, terutama di utara Sabah dan kawasan Pedalaman dalam PRN,” kata Salman, sambil menambah bahawa tidak timbul isu KDM dipimpin oleh seorang wanita muda.

Walaupun tanpa Datuk Peter, namun KDM, parti tempatan yang bakal bertanding secara solo dalam PRN akan datang, masih dilihat sebagai antara pencabar yang kuat, dan tidak boleh dipandang rendah dalam PRN.

KDM dijangka bertanding di lebih 45 kerusi dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles