KOTA KINABALU : Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan yang Lebih Inklusif”, yang akan diadakan pada hari Selasa, 18 Mac 2025, bertempat di Bilik Kapalai, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu. Program ini bertujuan membincangkan isu-isu, cabaran, serta strategi pemerkasaan wanita dalam aspek sosioekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, dalam satu kenyataan hari ini, menekankan kepentingan penyertaan wanita dalam pembangunan negeri. “Wanita memainkan peranan yang semakin signifikan dalam sektor ekonomi, sosial, dan pentadbiran negeri.
Dengan memberikan mereka akses kepada peluang serta mewujudkan ekosistem sokongan yang kondusif, kita dapat memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan,” kata beliau.
Sesi perbincangan ini akan menampilkan wakil-wakil daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, pakar ekonomi, serta wakil sektor awam dan swasta bagi membincangkan peranan NGO dalam memperkukuh pemerkasaan wanita di peringkat komuniti.
Fokus utama sesi ini adalah untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi wanita dalam pelbagai sektor serta meneroka inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi memperluaskan penyertaan mereka dalam pembangunan negeri.
Selain itu, sesi ini akan meneliti pelbagai inisiatif yang boleh digerakkan, termasuk program latihan kemahiran, sokongan keusahawanan, program kepimpinan wanita, dan usaha pengukuhan kapasiti.
Pendekatan bersepadu ini bertujuan untuk memastikan wanita bukan sahaja diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial, tetapi juga diberi peluang untuk memiliki suara dalam pembuatan dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Peranan NGO amat penting dalam membantu meningkatkan taraf hidup wanita, terutama di peringkat akar umbi. Mereka bukan sahaja menjadi penggerak utama dalam menyuarakan isu-isu masyarakat, tetapi juga memainkan peranan dalam menganjurkan program latihan dan pembangunan kemahiran.
Dengan kerjasama strategik bersama pemegang taruh utama, kita dapat memastikan usaha pemerkasaan wanita terus berjalan secara berterusan dan berimpak tinggi,” tambah beliau.
IDS juga menegaskan keperluan meningkatkan keupayaan wanita dalam mempengaruhi proses pembuatan dasar dan polisi di Sabah. Penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan akan membantu melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa di peringkat pengurusan dan proses pembuatan keputusan.
Selain itu, bagi memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan, termasuk akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan, serta jaringan sokongan keusahawanan yang kukuh.
Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, IDS yakin bahawa usaha memperkasa wanita akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih adil, progresif, dan mampan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penyelaras Program, Puan Siti Farizan Omar, melalui emel di farizan.omar@ids.org.my atau hubungi 088-450500.