SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mempertahankan keupayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri ini dengan baik.
Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya itu tidak gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku pemerintah, meskipun dituduh sebagai kerajaan yang gagal oleh pihak lawan.
Katanya, tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan pihak atau puak yang tidak suka kepada kerajaan GRS-PH Plus dan enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.
“Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.
“Kita dapat tingkatkan hasil kita, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke Universiti.
“Begitu juga dengan PETRONAS, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita. Kalau kita tidak pandai urus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku.
“Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.