KOTA KINABALU: Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed menekankan bahawa pengumuman projek keluli pada tahun 2022 menyatakan fasa pertama bermula pada suku keempat 2023 dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun 2025 dengan nilai pelaburan sekitar 1.29 billion USD bersamaan RM5.8 billion.
Beliau berkata mana-mana ‘DP submission’ (permohonan pelan pembangunan) yang melibatkan kemajuan kewangan negeri dan penambahan peluang pekerjaan kepada rakyat harus dkurangkan birokrasinya dan bukan mengambil masa bertahun-tahun.
Jeffery turut mempersoalkan kewajaran
‘EIA report’ mengambil masa bertahun-tahun diluluskan atau kelambatan menyiapkan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Putatan berkata kebanyakan terma yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Phoong Jin Zhe berhubung projek itu adalah subjektif.
“Adakah kenyataan dan alasan-alasan ini tidak menunjukkan apa yang berlaku sebenarnya? katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Phoong dipetik sebagai berkata bahawa dakwaan penangguhan pelaburan oleh Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) itu disebabkan hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri sebagai tidak berasas.
Oleh itu, Jeffery berharap agar segala pengumuman berkenaan projek pembangunan bukan dibuat semata-mata menyedapkan hati tetapi wajar dilaksanakan secara nyata, sekali gus memberi kesan yang positif kepada rakyat Sabah.