Gagasan Rakyat Sri Tanjong sebulat suara pilih calon pilihan rakyat untuk PRN-17

TAWAU: Gagasan Rakyat Sri Tanjong hari ini dengan sebulat suara bersetuju untuk meletakkan calon pilihan rakyat bagi mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan datang.

Menurut kenyataan Gagasan Rakyat Sri Tanjong, keputusan itu dicapai hasil daripada mesyuarat yang telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Gagasan Rakyat Sri Tanjong.

Hasil daripada mesyuarat itu juga dinyatakan bahawa bahagian itu mempunyai 60 cawangan dan lebih daripada dua ribu ahli yang bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Mesyuarat tersebut menekankan pentingnya calon yang diketengahkan adalah individu berintegriti, berwibawa, serta komited untuk membawa agenda pembangunan yang inklusif dan seimbang.

Calon yang dipilih adalah dalam kalangan Ahli Parti Gagasan Rakyat, yang diyakini mampu mewakili suara rakyat secara berkesan.

Gagasan Rakyat Sri Tanjong yakin bahawa calon ini berpotensi besar untuk menang dan menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

Fokus utama calon pilihan rakyat ini adalah memperjuangkan isu-isu penting seperti kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi tempatan, pendidikan, peluang pekerjaan, dan peningkatan infrastruktur asas di kawasan Sri Tanjong.

“Keputusan ini adalah hasil permuafakatan seluruh AJK Bahagian yang mahukan suara mereka benar-benar diwakili di Dewan Undangan Negeri Sabah. Ini adalah keputusan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat,” kata jurucakap Gagasan Rakyat Sri Tanjong.

Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Sri Tanjong menyeru seluruh penduduk kawasan ini untuk bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada calon pilihan rakyat demi masa depan yang lebih baik untuk semua.

Menurut data semasa, komposisi pengundi di kawasan Sri Tanjong terdiri daripada 56 peratus pengundi Cina, 40 peratus pengundi Melayu, dan selebihnya adalah pengundi daripada kaum lain-lain.

Statistik ini diambil kira dalam pemilihan calon bagi memastikan wakil yang dipilih dapat memenuhi keperluan serta mewakili kepelbagaian komuniti di kawasan ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles