KOTA KINABALU : UMNO Bahagian Putatan akan memastikan kemenangan besar di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Bahagiannya, Jeffrey Nor Mohamed berkata, tiga DUN tersebut iaitu membabitkan kawasan Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat.
Katanya, keyakinan itu disuarakan memandangkan ketiga-tiga pengundi DUN ini rata-ratanya merupakan majoriti pengundi bumiputera Islam.
“Parlimen Putatan ini merupakan kubu kuat UMNO Sabah….Tiada alasan kita tidak boleh menang bergaya pada PRN Sabah nanti.
“UMNO Bahagian Putatan kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN yang dijangka akan diadakan dalam tempoh enam bulan bermula daripada sekarang,” katanya di sini pada Isnin.
Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, setakat ini UMNO Putatan sentiasa fokus serta turun mendekati rakyat tanpa menunggu menjelang musim PRN.
“Kita yakin, berdasarkan gerak kerja dijalankan ini, UMNO Putatan akan menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) Sabah pada PRN nanti.
“Semua jentera kini berada dalam keadaan siap sedia untuk bekerja dalam PRN ini sekali gus memastikan UMNO menang di tiga DUN ini,” jelas Jeffrey Nor.
Sementara itu dalam perkembangan sama, UMNO Bahagian Putatan menyokong tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkaitan isu penjualan pek sandwich diragui halal di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) yang mempunyai logo halal.
“Tindakan keras harus dikenakan untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh.
“UMNO Bahagian Putatan menyokong tindakan Pemuda UMNO Malaysia sekali gus mengambil tindakan segera dan keras perlu diambil bagi melindungi kepentingan dan sensitiviti umat Islam di Malaysia,” kata Jeffrey Nor.
Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abdul Karim.