SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui agensi berkenaan akan meneliti cadangan pemimpin dan usahawan di sini untuk menaiktaraf Agro Bazaar FAMA Batu 32 sebagai sebuah Hub Keusahawanan Bazaar.
Beliau berkata, hub keusahawanan yang dicadangkan itu berkonsepkan RnR (Rehat dan Rawat) kerana kawasan itu adalah laluan lebuhraya Pan Borneo.
“Saya mengadakan kunjungan ini bersama dengan agensi KUSKOP iaitu UDA Holdings untuk membuat penilaian awal kepada cadangan menaiktaraf tempat ini sebagai hub keusahawanan berkonsepkan rehat dan rawat susulan penaiktarafan jalan perhubungan utama sebagai laluan lebuhraya Pan Borneo.
“Saya telah diberikan taklimat mengenai konsep rekabentuk hab tersebut dan beberapa lagi cadangan keperluan lain daripada agensi dan jabatan yang turut hadir termasuk daripada FAMA.
“Saya juga telah meminta perbincangan lanjut yang diketuai oleh FAMA, UDA Holdings, Majlis Perbandaran Sandakan, LPPB Sabah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, UPPM Gum-Gum dan pemegang taruh yang lain untuk meneliti cadangan hab keusahawanan tersebut sebelum saya memuktamadkan keputusan berkenaan peruntukan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Upacara Buka Mata Singa anjuran Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Bandar Utama Batu 6, di sini, hari ini.
Ewon berharap, rancangan itu berjalan lancar untuk manfaat para usahawan kecil yang memerlukan premis keusahawanan yang lebih baik.
Terdahulu itu Ewon bersama agensi-agensi KUSKOP mengadakan tinjauan di Tamu Desa Agro Bazar FAMA Batu 32 sempena lawatan kerja di sini.
Pada tahun lepas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah peruntukan projek premis Tamu Desa untuk menambahbaik kemudahan di kawasan tamu bazaar ini.
“Saya juga berkesempatan mendengar reaksi positif daripada usahawan-usahawan kecil di sini dengan hasil pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf premis Tamu Desa yang telah dilaksanakan tersebut.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Dr Peter Naintin yang mengilhamkan cadangan hab keusahawanan berkonsepkan RnR tersebut.
Kemudiannya Ewon menyampaikan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Holdings di bawah Program Back To School kepada wakil SK Semawang Libaran.
“Terima kasih kepada agensi KUSKOP kerana menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan murid-murid sekolah yang memerlukan,” katanya.
Selepas itu Ewon mengunjungi galeri Koperasi Baja Harapan Sabah Berhad dan diberikan taklimat mengenai perkembangan dan prestasi perusahaan koperasi yang mengeluarkan baja NPK dan baja organik jenama sendiri selain mengeluarkan produk syarikat lain secara OEM.
“Saya menghargai usaha koperasi ini kerana menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu harga baja di Sabah dengan mengeluarkan baja tempatan berkualiti dengan tawaran harga yang kompetitif.
“Saya juga mengalu-alukan usaha koperasi ini bekerjasama dengan koperasi-koperasi lain terutama yang berkaitan dengan sektor perladangan dan pertanian,” katanya.