KOTA KINABALU : Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) memberi penekanan ke arah memperkasa peranan wanita bagi membolehkan mereka bersama-sama menyumbang secara signifikan untuk pembangunan negara.
Presidennya, Marlina Madjid berkata, bagi tujuan itu inisiatif utama diperkenal menerusi Majlis Pembangunan Wanita Negeri Sabah (MPWS) iaitu menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkukuh undang-undang.
Katanya, ini bertujuan supaya wanita dapat meningkatkan peluang mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.
“Antara sasaran utama AWS adalah memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang terutama melonjakkan pemerkasaan wanita diperkenakan MPWS.
“Pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan di pelbagai peringkat bagi memperkasa wanita di negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marlina berkata, AWS akan melaksanakan program membabitkan pemerkasaan wanita yang merangkumi empat aspek iaitu Wanita dan Ekonomi, Wanita Selamat, Wanita Sejahtera serta Wanita dan Kepimpinan.
“Wanita dan Ekonomi
Aspek Wanita Dan Ekonomi merangkumi Program Penjanaan Pendapatan bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi membabitkan elemen keusahawanan, literasi kewangan dan ekonomi digital.
“Program ini dengan keanggotaan pelbagai latar belakang agama, bangsa, suku kaum dan keturunan jelas perlihatkan penerimaan wanita terhadap Pertubuhan Aspirasi Wanita akan meningkatkan bilangan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja sekali gus menjana pendapatan sampingan keluarga,” jelas Marlina.