KOTA KINABALU: UMNO Sabah menghormati keputusan mahkamah pada Isnin yang memerintah ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata setakat ini, Bung masih berada di peringkat proses membela diri dan belum lagi didapati bersalah oleh mahkamah.
Dalam hal ini, beliau terkilan dengan kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang awal-awal sudah mencadangkan agar Bung berundur daripada jawatan Ketua UMNO Sabah susulan keputusan imahkamah itu.
“Sebenarnya, presiden UMNO (dulu) pun suatu ketika pernah menghadapi pendakwaan dan memegang tapuk kerusi presiden dan kenapa tidak ketika itu dia (Zulkarnain) mengeluarkan kenyataan yang sama seperti dengan ketua UMNO Sabah sekarang? katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan berkata perjuangan dalam UMNO bukan kerana individu sebaliknya kerana parti.
“Kalau kenyataan ini dikeluarkan daripada dia (Zulkarnain) rasanya lebih baik dia berjuang di parti lain kerana ianya tidak sesuai dalam UMNO Sabah.
“Katanya beliau (Zulkarnain) pernah berjuang dulu 2018 tapi kita kalah sudah tentu ada sebabnya dan ketika itu “ketuanya lain”, jadi biarlah pimpinan baru yang mewarnai kepimpinan UMNO Sabah meneruskan perjuangan mereka dengan cara baru,” katanya,
Menurut Jeffery kekuatan UMNO Sabah bukan sekadar bergantung kepada individu tetapi bergantung kepada kesepaduan ahli akar umbi tanpa ada agenda diri masing-masing.