Bekas PPM Sook sokong kuasa pendaftaran MyKad didelegasikan kepada kerajaan Sabah

KENINGAU: Sudah tiba masanya rakyat Sabah bersatu mengambil ‘pendekatan di luar kotak’ dan menuntut agar kuasa ke atas pendaftaran MyKad didelegasikan kepada kerajaan Sabah selaras dengan semangat MA63, kata bekas Pemimpin Kemajuan Masyarakat Sook Gundohing Edward Kandok.

Beliau berkata ini kerana strategi yang pelbagai, termasuk menubuhkan RCI projek IC sebelum ini masih gagal menangani isu pengeluaran MyKad kepada warga asing, terutama yang menggunakan dokumen sokongan Surat Akuan Sumpah.

Menurut Edward penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah itu diyakini dapat meminimakan kemungkinan warga asing memperolehi dokumen MyKad.

“Saya percaya orang Sabah, terutama petugas yang diberi tanggungjawap mengurus pengeluaran dan pendaftaran MyKad nanti, lebih mengenali orang-orang tempatan dan mana warga asing.

“Misalnya ada muka orang cam orang Pakistan yang dikatakan dapat dokumen kelahiran di Nabawan…perkara seumpama ini mungkin tidak berlaku jika orang Sabah sendiri diberi kuasa mengendalikan pendaftaran dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Edward mengulas idea yang dilontarkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Salleh Said Keruak berhubung perkata itu.

Sebelum ini, Salleh telah mencadangkan agar semua penduduk asal Sabah mendaftar semula MyKad bagi menangani pelbagai isu dokumentasi, termasuk dokumen burung-burung.

Beliau berkata adalah lebih baik jika keseluruhan proses pendaftaran itu dikendalikan oleh kerajaan Sabah.

“Di Sabah, terdapat pelbagai jenis dokumen, termasuk dokumentasi burung-burung. Oleh itu, saya percaya adalah penting untuk menilai semula keseluruhan proses pendaftaran.

“Cadangan demi cadangan telah dikemukakan ke Kuala Lumpur dan begitu juga sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menangani isu ini.

“Pada akhirnya, masih ada pihak yang mempertikaikan kesahihan data tersebut. Jadi mengapa tidak dikendalikan oleh kerajaan negeri kita? kata Salleh.

Edward berpendapat bahawa mana-mana dokumen pengenalan diri MyKad yang ‘terlepas pandang’ diberikan kepada warga asing wajar dibatalkan serta merta.

Katanya langkah drastik itu penting memandang Sabah sudah lama bergelut dengan masalah kebanjiran PTI, dan berharap pendekatan baharu itu akan membuahkan hasil.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles