KOTA KINABALU: Parti DAP Sabah sentiasa bersedia untuk meneroka ruang kerjasama dengan mana-mana parti di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi PRN Sabah yang dijangka diadakan pada tahun 2025.
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata parti berpandangan bahawa
konsep dan semangat MADANI dalam Kerajaan Perpaduan perlu diterapkan dan dimartabatkan di Sabah selepas PRN bagi memastikan kestabilan politik yang kukuh serta memberi fokus kepada pembangunan ekonomi Sabah.
“Perlu diingatkan bahawa kepentingan rakyat Sabah harus diutamakan sebelum perbincangan mengenai gabungan politik.
“Oleh itu, pada masa ini prioriti DAP Sabah adalah berfokus untuk terus berkhidmat dan bekerja keras demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Phoong berkata pimpinan DAP Sabah bersetuju dengan kenyataan Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi MPN Keadilan Sabah, bahawa PH Sabah perlu menyelesaikan perbincangan serta rundingan dalaman terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.
“Kami menyambut baik hasrat Ketua Menteri Sabah mengenai kerjasama antara PH dan GRS demi kestabilan politik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata DAP Sabah menantikan mesyuarat jawatankuasa rundingan yang bakal diadakan bagi membincangkan lebih lanjut secara rasmi.