KUALA PENYU: Keperibadian Rasullullah SAW perlu dijadikan panduan serta ikutan semua pemimpin dan rakyat di negara ini untuk meningkatkan semangat perpaduan dan silatulrahim sesama masyarakat seiring dengan konsep Malaysia Madani.
Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, akhlak serta peribadi baginda Rasulullah SAW wajar dicontohi memandangkan baginda menyampaikan risalah dakwah sehingga akhirnya wujud perpaduan yang mampan.
“ Nabi Muhammad SAW adalah ikon penyatun ummah serta ikutan terbaik dalam segenap kehidupan semua manusia,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kuala Penyu di dewan Dato Syahbandar Makang Kuala Penyu baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kuala Penyu Joumat Haji Bisnim ,Ketua USIA bahagian Kuala Penyu Ustaz Haji Musa Sintim dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kuala Penyu Mohd Nazim Abdul Rahman.
Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata , kelahiran Rasulullah SAW membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam, dan Baginda adalah utusan terakhir dalam penyebaran syiar Islam.
“Baginda juga adalah ikon penyatuan ummah. Hal ini boleh dilihat melalui sirah Baginda di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah,” katanya
Dalam pada itu, Siti Aminah berkata, tema ‘ Al Falah Pemacu Malaysia Madani” sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, amat bertepatan supaya masyarakat terus menjaga keharmonian dan keamanan di negara ini.
“Justeru, marilah kita mengambil semangat sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini untuk terus bertekad menjaga keharmonian dan keamanan sejagat di negara ini,” katanya.
Dalam hubungan ini Siti Aminah yang juga Ketua Wanita USIA mengajak masyarakat khususnya umat Islam supaya sentiasa mempraktikkan amalan bersatu padu, saling bekerjasama serta bertoleransi agar keamanan, keharmonian serta kestabilan politik dan perpaduan antara kaum tidak mudah diganggu gugat oleh anasir jahat yang ingin memecah belahkan senario tersebut.
“Masyarakat Islam perlu mengekal sekaligus mempertahankan senario tersebut agar tidak berlaku perpecahan di kalangan umat Islam sebagaimana yang terjadi di kebanyakan negara Islam yang lain di Timur Tengah seperti Syria” katanya.