Pengerusi JPKK, JKDM diminta laksanakan tugas dengan telus demi kemajuan kampung – Abd Rahman

Oleh JAW

Advertisements

SIPITANG : Pengerusi-pengerusi jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan,(JPKK) dan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) diingatkan agar melaksanakan amanah untuk komuniti di kampung masing-masing dengan telus, cekap dan penuh tanggungjawab.

Ketua Umno bahagian Sipitang Abd Rahman Mohd Noh berkata peranan JPKK dan JKDM merupakan agen yang akan membawa perubahan dari segi kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan disetiap kampung yang diwakili.

“ Tugas yang diberikan ini merupakan satu amanah serta tanggungjawab besar kepada Masyarakat di setiap kampung yang mereka wakili selaras dengan fungsi JPKK yang berperanan untuk mengurus dan mentadbir sesuatu kampung sementara JKDM bertindak menyelaras program sosioekonomi dan keusahawanan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan pengerusi JPKK dan JKDM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N.35 Sinduman di Dewan Serbaguna Sipitang baru-baru ini.

Dalam pada itu Abd Rahman yang juga Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Sipitang turut menggesa agar semua Pengerusi JPKK dan JKDM MPKK dapat membina serta memperkukuhkan komunikasi, hubungan baik dan kerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dalam daerah bagi memastikan urustadbir berkaitan pembangunan, keselamatan, adat, budaya dan program-program kerajaan lebih lancar dan berkesan.

“Hubungan serta komunikasi yang baik dan berkesan akan mempermudahkan segala bentuk bantuan khidmat nasihat terutamanya yang membabitkan masalah penduduk yang diwakili,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Abd Rahman juga meminta Pengerusi JPKK di setiap kampung agar dapat menyediakan profail kampung masing-masing bagi mempermudahkan segala urusan terutamaya berkaitan dengan isu-isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Dengan adanya profail kampung ini ,ianya akan menjadi bahan rujukan bagi mana-mana agensi kerajaan terutamanya pejabat daerah mengenal pasti keperluan penduduk kampung yang diwakili,” katanya.

Abd. Rahman juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang meluluskan penubuhan JPKK dan JKDM untuk daerah Sipitang

Pada majlis tersebut seramai 72 orang pengerusi JPKK dan JKDM menerima watikah pelantikan mereka masing-masing.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles