UMNO Sabah: Fokus Kestabilan Politik, Bukan Isu Peribadi

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan bahawa isu pertelingkahan antara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Akmal Saleh, dan pemimpin DAP, Teresa Kok, tidak seharusnya dijadikan prasyarat untuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17). Kenyataan ini dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Chan Foong Hin, yang dilihat cuba mencampuri urusan dalaman parti dalam konteks kerjasama politik di Sabah.

Advertisements

Menurut Datuk Ir. Aziz Julkarnain, Setiausaha Politik kepada Ketua UMNO Sabah, UMNO Sabah tidak terdesak untuk bekerjasama dengan DAP, namun meletakkan kepentingan kestabilan politik sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat Sabah. “Kami tidak terhegeh-hegeh, tetapi ini soal tanggungjawab dalam memastikan politik di negara ini kekal stabil untuk kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan Chan Foong Hin bersifat angkuh dan tidak mencerminkan pendirian Pakatan Harapan secara keseluruhan. “Perdana Menteri Malaysia, yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri telah menegur Teresa Kok agar tidak menyentuh perkara sensitif secara terbuka.

“Terdapat saluran yang betul untuk menyampaikan pendapat, dan menghebahkan isu sebegini hanya akan merosakkan hubungan antara kaum. ‘It takes two to tango’, dan perbalahan terbuka tidak akan membantu memperkukuhkan kerjasama,” katanya.

Mengulas isu pensijilan halal yang turut dibangkitkan, Ir. Aziz menjelaskan bahawa tujuan utama pensijilan halal adalah untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan Islam dalam memilih premis makanan, tanpa mengira latar belakang pengusaha.

“Ia bukanlah soal diskriminasi, tetapi untuk mengelakkan kekeliruan. Dan perlu diingat, ia masih di peringkat kajian, belum dilaksanakan pun,” jelas beliau.

Ir. Aziz turut menasihati Chan agar memahami dinamika politik di Sabah yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia. “Sabah terkenal dengan toleransi yang tinggi antara kaum dan agama. Jangan sesekali membawa pendekatan politik Semenanjung ke sini. Jika benar ingin bekerjasama, lakukan dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar menunjuk kuasa politik,” tambahnya.

UMNO Sabah berharap semua pihak fokus kepada kerjasama yang konstruktif demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah. Segala perbezaan politik perlu diselesaikan dengan cara yang matang dan bertanggungjawab.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles