KOTA KINABALU: Pembukaan pejabat baharu TEKUN Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) cawangan Sabah dapat memacu pembangunan keusahawanan di Sabah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, kedua-dua pejabat itu terletak di lokasi strategik bangunan perniagaan yang turut menempatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat korporat dan jenama-jenama F&B terkemuka.
“Saya berharap dengan pembukaan kedua-dua pejabat baharu agensi KUSKOP ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu dan membangunkan usahawan-usahawan sedia ada di negeri ini.
“Ketika ini Tekun telah membantu sekitar 64,000 usahawan di Sabah dan PERNAS memberikan pembiayaan kepada 69 usahawan francais di negeri ini setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat TEKUN Nasional dan PERNAS, di Aeropod Commercial Square, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi PERNAS, Datuk Hazimah Zainuddin; Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah Urusan. & Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Dato’ Adam Abd Ghani, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah dan Ahli-Ahli Lembaga PERNAS dan TEKUN Nasional.
Ewon berharap, penaiktarafan pejabat TEKUN Negeri Sabah dan Pejabat TEKUN Cawangan Kota Kinabalu akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi.
“Begitu juga dengan pejabat baharu PERNAS yang bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada suasana dan persekitaran Pejabat PERNAS dengan mengetengahkan konsep jenama PERNAS selaku Peneraju Francais Malaysia.
“Dengan penempatan lokasi baharu ini dapat memudahcara usahawan-usahawan di negeri Sabah untuk berhubung dengan pegawai-pegawai PERNAS dan TEKUN Nasional sekali gus menggalakkan lebih ramai orang untuk meneroka bidang perniagaan francais,” katanya.