SANDAKAN: Jentera pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) diingatkan bahawa mereka menggalas misi besar dalam memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 tidak lama lagi.
Ketua Wanita PGRS Bahagian Sibuga, Senator Annabell Perian berkata, sehubungan itu, mereka tidak mempunyai banyak masa lagi dalam memperhebatkan gerak kerja mendekati rakyat khususnya di peringkat akar umbi.
“Perkara asas yang sewajarnya menjadi fokus kita di saat ini adalah usaha memperhebatkan gerak kerja pasukan Wanita dalam persediaan menghadapi pilihan raya.
“Asas kekuatan kerja berpasukan adalah saling percaya, saling mendukung, saling melengkapkan dan berganding bahu dalam menggalas misi besar yang kita pegang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sibuga di Dewan Sri Libaran Sandakan di sini pada Ahad.
Hadir sama wakil pemerhati Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Halizah Din yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat bahagian Likas, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Henry Hamdan, Ketua Beliawanis Gagadan Rakya Sungai Sibuga, Norliza Abugau serta perwakilan tiga pergerakan bahagian Sungai Sibuga
Annabell berkata, jentera wanita memikul amanah kepimpinan parti dan kerajaan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk membawa membawa kemenangan kepada Gagasan Rakyat sekaligus Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita semua perlu bekerja bersama-sama, buang bibit kebencian dan permusuhan sesama kita. Andai ada perbezaan, kita duduk dan berbincang, kita cari titik persama dan rungkaikan segala kekusutan.
“Kita mesti berfikir perihal yang baik-baik tentang rakan kita yang bersama dalam pasukan. Elakkan daripada menjadi duri dalam daging. Peliharalah hati kita daripada sifat hasad dengki apabila kita bekerja sebagai satu pasukan,” tegas beliau.
Tambah beliau, misi besar yang paling penting ialah meraih kepercayaan daripada rakyat meliputi anak muda dan belia, para ibu bapa mereka dengan memberi gambaran jelas mengenai hala tuju parti yang inklusif untuk semua.
“Dekatilah mereka, selami permasalahan mereka dan nyatakan kepada mereka bahawa kita bekerja dari hati. Kita dalam Gagasan Rakyat, kita Wanita Gagasan Rakyat adalah tunjang kepada wadah pergerakan parti untuk akar umbi. Kita peka dan sentiasa dekat dengan akar umbi.
“Jadilah rakan dan jadi saudara kepada mereka yang kita dekati kerana saya percaya, jika kita Ikhlas, Allah akan bersama kita dan membantu usaha kita dalam meyakinkan akar umbi tentang perjuangan kita bersama Gagasan Rakyat,” ujar beliau
Annabell yang juga Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah turut menasihatkan jentera wanita supaya berusaha mengelakkan sebarang persengketaan sesama sendiri dan tidak terikut-ikut dengan sikap parti pembangkang.
“Jangan jadi seperti kawan sebelah sana yang sentiasa mencari helah dan menabur fitnah demi mempamerkan diri sendiri sebagai mulia. Kita elakkan, kita jauhkan dari sifat seumpama itu.
“Rakyat hari ini bijak menilai, anak muda kita kini faham realiti dan peka. Sampaikan nilai perjuangan Gagasan Rakyat dengan intipati murni yang sering dikongsikan oleh pemimpin-pemimpin kita,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Menteri telah berusaha keras untuk mengubah Sabah, membawa lebih banyak penambahbaikan serta manfaat untuk rakyat Sabah.
Malah, kepimpinan kerajaan hari ini telah membuka ruang untuk anak Sabah khasnya dari segi melanjutkan pelajaran, penyediaan bantuan dan biasiswa dan banyak lagi.
“Sampaikan kepada semua yang di luar sana bahawa usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah adalah usaha yang fokus untuk rakyat Sabah.
“Saya mahu semua wanita-wanita di hadapan saya hari ini, anda semua, saya mahu kita semua jadi suara yang membawa mesej positif dari perjuangan parti kita untuk difahami rakyat,” katanya.