Karnival Bahasa Kadazandusun pupuk pembudayaan identiti di kalangan pelajar – Ewon

KOTA BELUD: Penganjuran Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) boleh memupuk pembudayaan identiti di kalangan para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program seumpama itu turut menggalakkan integrasi ke arah identiti Malaysia sebenar yang memberi ruang, peranan dan hak kepada setiap kaum untuk memberi sumbangan kepada negara.

“Identiti Malaysia berasaskan kemajmukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa dan agama mempunyai hak dan peranan dalam membangunkan masa depan negara.

“Justeru, penganjuran program seperti Karnival Bahasa Kadazandusun boleh memupuk pembudayaan identiti bermula dengan para pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Hilang bahasa, maka hilanglah juga identiti bangsa. Maka karnival ini membuka ruang kepada para pelajar berbangga mempunyai identiti bangsa dan seterusnya memupuk rasa hormat kepada bangsa lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, pada Rabu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengulangi komitmennya untuk terus menyokong usaha memperkasakan bahasa ibunda.

“Setiap rakyat Malaysia harus menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa

“Kita harus menguasai bahasa ibunda kerana itulah identiti kita sebagai warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

“Selain itu, kita juga harus menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa pertuturan utama dunia selain menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memperkasakan bahasa etnik di Sabah, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Malaysia pada Mei lepas bersama guru-guru dan pejuang bahasa etnik di negeri ini.

Katanya, pejuang bahasa etnik di Sabah mengemukakan cadangan supaya empat bahasa etnik di negeri ini iaitu Kadazan (Penampang), Tatana (Kuala Penyu) , Lotud (Tuaran) dan Murut Timugon (Tenom) turut diajar di sekolah.

Sehubungan itu katanya, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk meneliti cadangan itu seterusnaya mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang juga Pengerusi Pelaksana Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 Lorrendah Joseph berkata, Karnival BKD bertujuan meningkatkan kecekapan berbahasa dalam kalangan pelajar dan memupuk kecintaan terhadap bahasa ibunda atau bahasa asing.

“Karnival ini adalah satu inisiatif penting dalam usaha kita memelihara dan memartabatkan bahasa serta budaya sesuatu kaum.

“Saya percaya, melalui pelbagai pertandingan dan aktiviti yang diadakan sepanjang karnival ini, para pelajar dapat memperkaya pengalaman dan ilmu dalam aspek bahasa.

“Saya berharap dengan adanya karnival ini, kita dapat melihat lebih ramai anak-anak muda yang bukan sahaja memahami tetapi juga menghargai bahasa dan budaya khususnya budaya Kadazandusun,” katanya.

Karnival dua hari itu disertai 55 buah sekolah rendah dan menengah dari enam daerah seluruh Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles