KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang kini sedang bercuti selama satu minggu sanggup mengorbankan cutinya demi untuk rakyat Kadamaian.
“Memang betul pada minggu ini saya telah memohon dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuti rehat selama satu minggu untuk mengurus beberapa urusan keluarga yang tertangguh selama satu tahun lebih.
“Tetapi Kadamaian juga adalah keluarga saya, saya anggap ini juga adalah urusan keluarga saya pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Komuniti anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Kementerian Perpaduan Negara di Kg Tengkurus, di sini, kelmarin.
Sebelum itu beliau merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah di Dewan Kadamaian Square Taginambur, kemudiannya meninjau kerja-kerja pembinaan Tamu Desa di Kg Gaur dan seterusnya meninjau kerja-kerja penaiktarafan Jalan Tengkurus – Lahanas dan Jalan Tambulaung – Podos.
Beliau turut meluangkan masa bersarapan pagi di Kg Tamu Darat bersama komuniti.
Ewon menganggap semua program berkaitan penduduk Kadamaian adalah urusan keluarganya.
“Kepimpinan harus bermula dari rumah dan rumah saya adalah kawasan (DUN Kadamaian) yang telah memberikan mandat kepada saya. Sebab itu saya tangguhkan urusan sebenar saya pada hari ini untuk bersama-sama keluarga Kadamaian,” katanya.
Mengenai program anjurang Yayasan Sukarelawan Siswa itu, Ewon berharap inisiatif ini dapat memupuk integrasi, perpaduan dan kebersamaan dalam rakyat majmuk Malaysia melalui penyertaan siswa-siswi bersama komunitu
“Saya berharap agar siswa siswi yang terlibat dalam progam ini dapat menjadikan pengalaman mereka berada di kampung pedalaman sebagai inspirasi dan motivasi bagi memberikan sumbangan kepada rakyat dan negara.
“Saya turut menghargai sumbangan keluarga-keluarga angkat mereka serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di empat buah kampung yang terlibat dalam program ini.
“Dalam pertemuan saya dengan YSS beberapa bulan lepas, saya mencadangkan supaya mereka melaksanakan program ini di Kadamaian dan Moyog,” katanya.
Ewon turut menyalurkan peruntukan khas beliau sebagai menteri sebanyak RM50,000 kepada JKKK Kg Tengkurus untuk membaiki kerosakan paip graviti di kampung tersebut yang dilaksanakan oleh komuniti kampung.
Seramai 100 siswa siswi dari pelbagai universiti seluruh negara terlibat dalam program di Sabah yang dilaksanakan di DUN Kadamaian Kota Belud dan DUN Moyog Penampang.