KOTA KINABALU : Bantuan Biasiswa Pendidikan Sabah merupakan hak Anak Sabah sekali gus sepatutnya bukan menjadi bahan politik murahan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Naib Ketua Wira Parti Warisan (WARISAN), Khairuddin Daud berkata, sikap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mempolitikkan bantuan Biasiswa Kerajaan Negeri kepada pelajar Sabah melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi hanya akan melemahkan semangat pelajar berkenaan.
Katanya, kenyataan Hajiji semalam menjadikan bantuan biasiswa negeri Sabah sebagai bahan politik mendakwa biasiswa tersebut adalah jasa GRS kepada rakyat, khususnya pemimpin pembangkang.
“Sebagai Ketua Menteri, beliau seharusnya berbangga kerana ramai kalangan anak-anak Sabah yang bijak pandai berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti, bukan sahaja di dalam negara, bahkan di luar negara.
“Sikap tidak profesional Ketua Menteri ini yang mendakwa biasiswa kepada anak pemimpin pembangkang adalah manifestasi keadilan pentadbiran GRS, hanya akan melemahkan semangat pelajar daripada Sabah.
“Ini kerana merasakan biasiswa yang diberikan akan dijadikan alat politik dan bukannya dinilai dari sudut pencapaian akademik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, Hajiji turut mendakwa pentadbirannya bersikap adil kepada semua termasuklah pemimpin pembangkang.
“Secara jelas dakwaan Hajiji ini bercanggah dengan tindakannya selama pentadbiran GRS, apabila semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak diberikan peruntukan sama rata seperti ADUN Kerajaan.
“Justeru, bagaimana Hajiji menyatakan beliau adil kepda rakyat apabila kawasan pembangkang tidak mendapat peruntukan sepertimana kawasan ADUN Kerajaan,” jelas Hajiji.
Menurutnya, sekiranya Hajiji benar adil kepada semua termasuk pembangkang, Hajiji sepatutnya wajar memberikan peruntukan kepada semua ADUN tanpa mengira meraka pembangkang mahupun kerajaan.
“Ini supaya perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada rakyat di semua kawasan tanpa mengira politik,” kata Khairuddin.
