Oleh JTam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk terus menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas dan lebih baik, bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, kerajaan negeri juga komited dalam membangunkan kawasan luar bandar Sabah, memastikan bahawa setiap penduduk, tidak kira di mana mereka berada, akan mendapat peluang yang sama untuk maju dan berjaya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvokesyen Program Bina Kerjaya Sektor Tidak Formal dan Kerjaya TVET di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Jahid menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan modal insan di kawasan luar bandar. Melalui pelbagai program yang telah dilaksanakan, di harap untuk melihat lebih ramai lagi anak-anak muda dari luar bandar yang berjaya, seperti para graduan yang kita raikan hari ini.
Beliau berkata, Konvokesyen Program Bina Kerjaya Sektor Tidak Formal dan Kerjaya TVET mencerminkan usaha kerajaan untuk memperkasakan rakyat Sabah melalui program pendidikan dan latihan yang berkualiti, terutama sekali untuk golongan muda dan mereka yang kurang berkemampuan.
Justeru itu, katanya kejayaan para graduan adalah bukti bahawa pendidikan dan kemahiran adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing, terutama di kawasan luar bandar yang memerlukan lebih banyak sokongan dan perhatian.
“Kami amat berbangga atas kejayaan para graduan pada hari ini dan diharapkan masa dan ruang untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan tidak berakhir di sini. Selepas ini, diharapkan anda dapat terus meningkatkan lagi kemahiran dan kepakaran anda menerusi peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan,” katanya.
Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Thames Oxford Academy, Zainudin Kadir; Dr. Mohd Ali bin Hindia, Pengarah PERKESO Negeri Sabah; Prof. Madya Dr. Wan Edura Wan Rashid, Pengarah Institute of Business Excellence, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Puan Siti Norain Abdullah, Pengarah Urusan Thames Oxford Academy.