LABUAN: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi di Labuan diseru manfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi membangunkan usahawan PMKS dan koperasi di Wilayah ini seiring pembangunan usahawan dan koperasi di seluruh negara.
Beliau berkata, KUSKOP melalui agensi di bawahnya sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa dalam memastikan semua lapisan masyarakat dapat dibantu.
“Inisiatif dan kemudahan yang disediakan termasuklah akses kewangan seperti pinjaman, geran bantuan dan beberapa dana yang telah diperuntukkan oleh agensi di bawah KUSKOP.
“Selain Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), agensi-agensi KUSKOP yang lain seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),SME Corp, SME Bank, PERNAS, termasuk Bank Rakyat dan Coop Bank Pertama turut menyediakan insentif-insentif dan dana pembiayaan yang terbuka kepada semua entiti perniagaan termasuklah koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramah Mesra bersama Usahawan dan Koperasi sempena Memasyarakatkan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, hari ini.
Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM menyediakan dana sebanyak RM2.5 juta kepada ANGKASA tahun ini untuk pembangunan aktiviti perniagaan koperasi di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu RM2 juta adalah untuk membiayai Program Pembangunan Koperasi melalui ANGKASA dan selebihnya untuk Tabung Pendidikan ANGKASA,” katanya.
Katanya lagi, selain dana untuk pembangunan koperasi, KUSKOP juga menyediakan dana khusus untuk koperasi yang terlibat dalam industri pelancongan iaitu Program Jom Jelajah Koperasi(JEJAK) yang telahpun dilancarkan pada Mei lalu.
“Melalui program JEJAK, koperasi-koperasi akan dibantu dalam aspek promosi dan pemasaran produk/perkhidmatan koperasi yang terlibat dalam industri ini, seperti penjagaan kesihatan, hospitaliti dan seni kraf.
“Kita berharap program JEJAK dapat membantu meningkatkan penglibatan koperasi dalam merancakkan lagi industri pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Ewon berkata, bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, KUSKOP juga menyediaan peruntukan sebanyak RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan Jualan Madani Koperasi (JMK).
“Melalui Program JMK, orang ramai bukan sahaja berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah (20% hingga 30%) daripada harga biasa tetapi membantu melonjakkan pendapatan koperasi yang bertindak sebagai operator jualan,” katanya.
Katanya, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 72 program JMKU dilaksanakan dengan jumlah insentif yang diluluskan sebanyak RM1.82 juta dan jumlah jualan yang direkodkan sebanyak RM6.46 juta.
“Pelaksanaan program JKMU ini telah memberi manfaat kepada 212,050 orang pengguna melalui barangan keperluan asas yang dijual oleh 230 operator jualan yang dilantik oleh SKM,” katanya.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sijil pendaftaran kepada empat koperasi Labuan yang baru didaftarkan tahun ini, iaitu Koperasi Keluarga Yantei Bakir Labuan Berhad, Koperasi Keluarga Faridah Labuan Berhad, Koperasi Keluarga Haji Saban Labuan Berhad dan Koperasi Veterinar Labuan Berhad.
Secara keseluruhannya sebanyak 50 koperasi berdaftar di Labuan termasuk empat yang baru didaftarkan.
Turut disampaikan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR)SKM kepada Pertubuhan Kebajikan Gemilang Sabah mewakili 10 usahawan Labuan dan bantuan pembangunan koperasi sebanyak RM50,000 kepada Koperasi Keluarga Haji Syamsudin Bila Labuan Berhad.