RANAU: Kerajaan prihatin akan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan dalam memberikan keperluan dan keselesaan semasa menuntut ilmu di sekolah, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut beliau, situasi ini paling dirasai oleh ibu bapa dan penjaga semasa musim persekolahan bermula khususnya keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
“Kerajaan juga sangat komited dengan pembangunan pendidikan di negeri ini dengan memberikan bantuan-bantuan pendidikan daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Ini adalah kerana, Kerajaan tahu betapa pentingnya pendidikan terhadap pembangunan sesebuah negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK) Kumpulan Yayasan Sabah bagi tahun 2024 di SMK Timbua, di sini, pada Jumaat.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, tahap pendidikan yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada pembangunan negara kerana, individu yang mempunyai pemikiran berkualiti tinggi boleh meningkatkan bukan sahaja sektor ekonomi tetapi sektor lain seperti pentadbiran, kesihatan dan keselamatan negara dalam jangka masa yang panjang.
Pendidikan juga akan meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia dengan menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing bukan sahaja di pasaran negara tetapi di pasaran antarabangsa, katanya sambil menambah, generasi inilah yang akan mencorakkan masa depan negara seterusnya memajukan Sabah.
“Saya juga percaya, pendidikan adalah satu komponen penting dalam mengubah sosioekonomi sesebuah keluarga.
Peningkatan dalam pendidikan individu akan memberi impak kepada peningkatan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
“Apabila mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, ini akan mengurangkan kemiskinan dalam keluarga serta akan meningkatkan kuasa beli dalam kehidupan seharian. Justeru itu, para pelajar yang hadir pada hari ini perlu mempunyai sasaran dan azam untuk keluar dari kepompong kesusahan keluarga dengan berusaha dalam pembelajaran di sekolah.
“Saya juga ingin mengingatkan anak-anak agar supaya kamu datang ke sekolah serta memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk terus menimba ilmu serta jadikanlah sekolah sebagai tempat mengasah bakat dan membina pengalaman dengan sebaik mungkin sehingga berjaya menjadi insan yang berjaya.
“Pendidikan adalah 1 instrument paling efektif untuk keluarkan dari kepompong kemiskinan.
“Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Saya percaya semua pelajar secara amnya mampu menjadi seorang yang berketerampilan, mampu bersaing di dunia global, seterusnya menjadi warga yang cemerlang dalam kehidupan dan mungkin satu masa nanti akan menjadi seorang pemimpin yang disegani,” kata ADUN Kundasang itu.
Dr. Joachim yang juga merupakan penerima tajaan Biasiswa Yayasan Sabah mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana telah menyumbangkan barang keperluan berupa set buku rujukan SPM dan juga kalkulator santifik kepada 50 pelajar kurang berkemampuan sekolah tersebut.
Percaya sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pelajar yang layak menerima bantuan ini, beliau berharap bantuan daripada Kumpulan Yayasan Sabah ini dapat menjadi pemangkin kecemerlangan pelajar khususnya dalam bidang akademik.
Skim Bantuan Khas ini bertujuan untuk membantu mengurangkan beban keluarga pelajar yang termiskin, keluarga B40 serta ibu bapa penerima bantuan e-kasih menerusi pemberian bantuan sokongan pembelajaran.
Katanya, Yayasan Sabah menawarkan biasiswa bagi pelajar tingkatan enam, peringkat Diploma, Ijazah Sarjana muda dan Sarjana serta biasiswa Dermasiswa hanya untuk pelajar UiTM sahaja.
Kerajaan turut menawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri, Biasiawa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) dan Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
“Di bawah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), terdapat juga bantuan -bantuan lain seperti Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan İhsan Komputer Sabah (BAIK)- 1 komputer 1 rumah; Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa (BAGUS),” kata Dr. Joachim.
Turut hadir ialah isteri Dr. Joachim, Datin Seri Linda Ewit; Ketua Pentadbir Zon Pantai Barat Selatan, Yayasan Sabah, Linda Anthony; Pengetua SMK Timbua, Dr. Marcus Shapie; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani dan guru-guru sekolah.