GUA MUSANG: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Hajah Siti Aminah Aching yakin kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam pilihanraya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos , bakal merubah landskap pembangunan khususnya di kawasan tersebut.
Katanya pemilihan Mohd Azmawi sebagai calon BN pada PRK kali ini merupakan pilihan tepat seorang pemimpin muda yang berwawasan dan telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dikawasan tersebut sebelum ini, walaupun belum dinobatkan sebagai wakil rakyat.
“Jika beliau (Mohd Azmawi) diberikan sokongan dan amanah untuk meniadi wakil rakyat pada PRK kali ini,kita yakin beliau mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya sebagai ADUN dalam menjaga kebajikan dan membawa kemajuan rakyat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melakukan program ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek dekat sini pada Rabu.
Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort yakin pengundi di DUN berkenaan akan menzahirkan sokongan masing-masing kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam PRK kali ini .
Menurut beliau, sokongan kepada calon BN amat penting untuk memastikan lebih banyak lagi kejayaan akan dicapai serta dinikmati oleh masyarakat di kawasan berkenaan.
“Saya menaruh keyakinan sekiranya BN diberikan mandat lebih banyak pembangunan dapat dibawa oleh Mohd Azmawi memandangkan beliau boleh berhubung terus dengan pemimpin pusat dimana BN merupakan sebahagian dari kerajaan Perpaduan yang boleh dapat memberikan pelbagai peruntukan pembangunan berbanding dengan kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS” katanya
Siti Aminah berkata dari beberapa keluhan yang didengar di beberapa buah kampung semasa program ziarah tersebut mereka sudah bosan dengan pemerintahan PAS hampir 40 tahun di negeri itu yang gagal membawa perubahan dan PRK kali ini merupakan titik tolak untuk mereka melakukan perubahan .
“Rakyat Kelantan khususnya di DUN Nenggiri perlu menggunakan peluang PRK kali ini untuk menebus segala kerugian yang dialami oleh rakyat kelantan khususnya di DUN Nenggiri selama ini dengan memberikan sokongan padu kepada calon BN sebagai titik mula kebangkitan,” katanya..