Sejarah, adat aset tidak ternilai – Jahid

TAMPARULI: Sejarah dan adat merupakan aset yang tidak ternilai kepada masyarakat sesebuah kampung, justeru, menjaga keutuhan budaya ini adalah amanah yang harus digalas bersama.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, adat istiadat bukan sahaja merupakan sebahagian daripada identiti, tetapi juga berfungsi sebagai panduan dalam kehidupan seharian, mengajar tentang nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kerjasama, dan tolong-menolong.

“Jadi, adalah penting bagi kita untuk terus mempertahankan tradisi ini agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan singkat ketika menghadiri Majlis Penggubalan Peraturan-Peraturan Kecil Kampung Tiong Monggis, di sini pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Sulit Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, William Ugau, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tiong Monggis, Juhanis Tinggi, dan pemimpin di beberapa kampung berhampiran.

Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, pemahaman tentang tradisi dan adat istiadat juga dapat membantu generasi muda mengemudi kehidupan dengan lebih baik, kerana nilai-nilai yang terkandung dalam adat istiadat sering kali mengandungi hikmah dan panduan untuk mengatasi pelbagai cabaran.

“Sebagai anak-anak kampung yang bangga dengan asal usul kita, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik kampung dan mematuhi adat istiadat yang telah diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.

Jelas beliau, mematuhi adat istiadat bukan bermakna menolak kemajuan, tetapi sebaliknya, ia merupakan cara untuk mengharmonikan tradisi dan pembangunan.

“Dalam era yang serba moden ini, generasi muda memainkan peranan penting sebagai pewaris masa hadapan yang akan menentukan arah tuju masyarakat dan budaya kita.

Tambahnya, sebagai pewaris warisan nenek moyang, adalah penting bagi mereka untuk mengambil tahu dan mempelajari tradisi serta adat istiadat yang telah diwariskan.

Dalam pada itu, Jahid berkata, peraturan-peraturan kecil yang telah ditetapkan oleh kepimpinan kampung memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Peraturan ini adalah hasil daripada perbincangan dan persetujuan bersama yang dicapai melalui mesyuarat kampung, di mana suara dan pandangan semua pihak diambil kira.

“Kepatuhan kepada peraturan ini bukan sahaja menunjukkan rasa hormat kepada kepimpinan kampung, tetapi juga mencerminkan komitmen kita terhadap kesejahteraan bersama,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles