KOTA BELUD: Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menekankan pentingnya peranan kepimpinan akar umbi, belia dan wanita dalam UMNO dan mengulangi komitmen parti itu untuk terus memperjuangkan autonomi Sabah.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan hubungan dan populariti UMNO, khususnya di peringkat akar umbi.
“Kekuatan kita terletak pada pemimpin akar umbi yang lebih memahami isu-isu tempatan dan mampu membantu merumuskan penyelesaian yang berkesan,” katanya.
Salleh yang juga ADUN Usukan berkata demikoan ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerak Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kota Belud di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Botung, dekat sini hari ini.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkongsi kejayaan inisiatif akar umbi pimpinan UMNO di Sabah, termasuk projek pembangunanGqj masyarakat dan penambahbaikan infrastruktur tempatan, yang telah meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah dengan ketara.
Menyedari peranan penting belia dan wanita dalam UMNO, Salleh menggesa mereka untuk meningkatkan penyertaan, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk diketengahkan sebagai pemimpin parti pada masa depan.
Beliau turut menonjolkan peranan pemimpin muda dan wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada parti dan masyarakat.
Mengimbas sejarah UMNO di Sabah, Salleh menekankan usaha parti itu dalam memperjuangkan autonomi yang lebih besar untuk negeri itu.
Beliau menggariskan pencapaian penting semasa UMNO memegang jawatan, seperti dasar yang memacu pembangunan ekonomi, menambah baik infrastruktur, dan memperluaskan prospek pendidikan.
“UMNO sentiasa berdedikasi untuk memperjuangkan hak dan autonomi Sabah. Sejarah kita adalah bukti dedikasi ini,” katanya.