Bersiap sedia untuk menghadapi PRN, kata Salleh kepada ahli UMNO

KOTA MARUDU: Ahli UMNO Sabah diminta mengekalkan momentum jentera mereka bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-17 (PRN) yang semakin hampir.

Advertisements

Ketika membuat gesaan itu, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu ahli parti bekerja keras dan memastikan kemenangan UMNO di kawasan ia akan bertanding.

“Komitmen kita ialah menolong rakyat dengan sebaik mungkin.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita mesti memperkukuhkan jentera parti kita di semua peringkat. Ini bermakna mempertingkatkan strategi kita, memastikan komunikasi berkesan, dan menggerakkan anggota kita untuk bekerja secara padu,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerak Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kota Marudu, di sini hari ini.

Salleh yang juga ADUN Usukan mewakili Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pada majlis itu.

Salleh berkata ahli UMNO perlu melibatkan diri dengan komuniti secara aktif, memahami keperluan dan kebimbangan mereka, dan menyediakan penyelesaian praktikal.

“Pemimpin dan ahli kita harus kelihatan dan mudah didekati, sekaligus menunjukkan UMNO di sini sedia untuk berkhidmat dan memberi impak yang positif,” katanya.

Selain itu, bekas ketua Menteri Sabah itu mahu UMNO memperkasakan jentera selain memupuk semangat perpaduan dan kerja berpasukan.

“Setiap ahli UMNO memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan kita. Sama ada seorang pemimpin yang berpengalaman atau ahli baharu, sumbangan amat ahli amat berharga dan sangat diperlukan.

“Marilah kita bekerjasama, mengetepikan sebarang perbezaan dan menumpukan pada matlamat bersama kita—untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan yang lebih cerah,” tambahnya.

Sebagai pemimpin, beliau berkata, “Adalah menjadi kewajipan kita untuk menunjukkan contoh yang positif.”.

“Kita mesti rajin, jujur, dan berdedikasi dalam perkhidmatan kita. Marilah kita mendekati setiap sudut kawasan pilihan raya kita, melibatkan diri dengan rakyat, dan mendengar suara mereka.

“Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja akan mengukuhkan asas sokongan kita tetapi juga menunjukkan komitmen kita terhadap kebajikan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa ahli UMNO supaya bekerja keras dan terus beristiqamah untuk mencapai keputusan yang diinginkan.

“Bersama-sama, kita boleh mencapai kejayaan dan memastikan kemenangan untuk UMNO. Marilah kita maju ke hadapan dengan keyakinan dan keazaman, kerana mengetahui bahawa usaha kita akan membawa kepada kejayaan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles